Bisnes

Bursa Malaysia teruskan peningkatan pada awal dagangan hari ini

image

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan kenaikan semalam apabila dibuka lebih tinggi pada Rabu, didorong oleh belian berterusan di kaunter-kaunter berkaitan indeks berikutan sentimen serantau yang positif.

Pada 9.12 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.6 mata kepada 1,375.26 daripada 1,371.66 sewaktu dagangan ditutup pada Selasa.

Indeks penunjuk utama tersebut naik 3.96 mata kepada 1,375.62 sewaktu dibuka pagi ini.

Sentimen pasaran adalah positif yang menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 298 berbanding 92 manakala 237 kaunter tidak berubah, 1,277 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 567.96 juta bernilai RM162.31 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata data ekonomi China semalam yang lebih ukuh daripada jangkaan awal juga mendorong peningkatan ekuiti global apabila pelabur menilai semula kesan-kesan akibat pandemik COVID-19.
Setakat ini, katanya, impak akibat pandemik itu dilihat sebagai kurang serius berbanding jangkaan awal.

Bagaimana pun kebanyakan negara hanya mula melaksanakan baru mula menggunakan kaedah sekatan perjalanan atau jarakan sosial pada lewat Mac atau awal April dan mungkin disusuli dengan data lebih lemah bagi April 2020, katanya.

"Dalam keadaan pasaran lebih tenang, kami berpendapat bahawa rasa optimis susulan pembukaan semula aktiviti-aktiviti ekonomi secara berperingkat, mungkin akan terus memberi ruang bagi tujuan pemulihan.

"Sekiranya minat belian itu berterusan, ini akan mendorong paras FBM KLCI melepasi 1,370 manakala rintangan segera pada 1,400," kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga untung lapan sen kepada RM12.22, IHH Healthcare meningkat enam sen kepada RM5.15, Petronas Chemicals naik lima sen kepada RM5.22 dan Maxis menokok dua sen kepada RM5.26.

Maybank sebaliknya susut satu sen kepada RM7.57 manakala Public Bank rugi enam sen kepada RM15.78.

Bagi saham aktif, Mtouche meningkat 2.5 sen kepada 9.5 sen, MCT menambah 1.5 sen kepada 20 sen manakala Vortex dan Minetech masing-masing tidak berubah pada sembilan sen dan 25 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 38.48 mata pada 9,527.44, Indeks FBM Emas Shariah naik 61.48 mata kepada 10,531.65 manakala Indeks FBMT 100 menokok 37.45 mata kepada 19,421.12.

FBM 70 meraih 97.64 mata kepada 11,217.14 dan FBM Ace naik 17.51 mata kepada 4,289.64.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.97 mata kepada 113.87 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 1.68 mata kepada 12,364.1 dan Indeks Perladangan meningkat 3.32 mata kepada 6,250.03. - BERNAMA
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda