Luar Negara

Nasib petugas kesihatan, dipukul, dicaci oleh orang ramai hanya kerana mahu cegah Penyakit COVID-19

image

INDIA: Dikerumuni sekurang-kurangnya oleh 100 orang, dibaling dengan batu dan objek keras lain selain berdepan dengan serangan fizikal.

Itu antara detik cemas yang perlu dihadapi oleh para pegawai kesihatan di India gara-gara rakyatnya terlalu takut apabila mereka didekati untuk tujuan pemeriksaan dan saringan jangkitan COVID-19.

Menerusi perkongsian seorang petugas kesihatan awam, Trupti Katdare bagaimanapun berkata, situasi itu sudah menjadi kebiasaan dalam usaha pihaknya mengekang penularan wabak itu.

“Ketika itu, saya hanya memikirkan cara untuk kami selamatkan nyawa kami.

“Saya terbayangkan suami saya, anak-anak, ahli keluarga kerana memikirkan nasib saya sama ada boleh berjumpa dengan mereka lagi atau tidak selepas ini,” luah Katdare kepada portal Bloomberg.

Menurut Katdare, situasi demikian juga sering menimpa dirinya dan petugas kesihatan lain yang hanya menjalankan tugas untuk mengesan mereka yang disyaki dijangkiti virus itu.
Jelasnya, dia dan rakan-rakannya sudah sering dicaci dan dituduh mencuri maklumat serta menculik mereka.

Difahamkan, kes serangan fizikal mula meningkat di negara itu ekoran rakyat panik akibat bimbang dijangkiti virus itu daripada petugas medik selain stigma negatif mengaitkan golongan berkenaan sebagai pembawa virus.

Meskipun diancam, bagi Katdare, kumpulannya tidak memilih untuk melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa, sebaliknya mereka sendiri melawat kawasan kejiranan di situ untuk memberi kaunseling dan nasihat kepada mereka.

Sementara itu, seorang doktor senior, Nirmalya Mohapatra berkata, sebagai seorang doktor, beliau memahami risiko berdepan mendapat jangkitan.

“Kami tidak takut dengan jangkitan kerana kami sudah bersedia dari segi mental untuk melaksanakan pekerjaan ini. Tetapi jika dipukul, itu adalah di luar jangkaan persiapan kami.

“Itu bukan risiko pekerjaan yang kami minta,” katanya yang bertugas di sebuah hospital awam di New Delhi.

Keadaan itu, bagaimanapun, turut berpunca daripada beberapa faktor lain.

Antaranya adalah kepercayaan kepada sistem kesihatan India yang kini semakin rendah selain kesalahan maklumat yang merebak di media sosial.

Pelaksanaan perintah berkurung yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Narendra Modi bulan lalu terhadap 1.3 bilion rakyatnya turut memberi kesan kepada rakyatnya yang kini tidak ubah seperti dalam ‘histeria’.

India ketika ini masih melaksanakan perintah berkurung berikutan catatan 10,541 kes jangkitan dan 358 kematian akibat pandemik COVID-19.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda