Berita Semasa

Covid-19: 25 Peratus kes covid di Kota Kinabalu tidak diketahui asal usul jangkitan

image
KOTA KINABALU: Analisis yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mendapati 25 peratus kes Covid-19 yang dikesan di daerah ini merupakan kes sporadik, iaitu tidak diketahui asal usul dan punca jangkitan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, hanya 62 peratus kes Covid-19 di daerah ini melibatkan kluster tabligh dan selebihnya kes yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Beliau berkata, daripada 39 kes Covid-19 yang dilaporkan di daerah ini, 10 kes sporadik telah dilaporkan iaitu lapan melibatkan anggota kesihatan dan dua kes sporadik tempatan termasuk satu kes generasi pertama.

“Sementara itu, sembilan kes berkaitan kluster Perhimpunan Tabligh Masjid Sri Petaling manakala 11 lagi melibatkan kontak generasi pertama dan empat kontak generasi kedua.

“Selebihnya, satu kes mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan dua kes kontak generasi pertama dan satu kes lagi merupakan kontak generasi pertama kepada kes di Tuaran yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Jika dibandingkan kes di Tawau, 95 peratus daripada 79 kes Covid-19 yang dilaporkan di Tawau adalah daripada kluster tabligh.

Sebanyak 32 kes terlibat dalam Perhimpunan Tabligh Seri Petaling manakala 31 kes merupakan kontak generasi pertama, dua kes generasi kedua dan satu kes generasi ketiga.

“Manakala, sembilan kes melibatkan peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh di Sulawesi, dua kes mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan satu kes lagi adalah kes sporadik dengan satu kontak,” jelasnya.

Christina berkata, pengurusan kes sporadik lebih mencabar untuk mengenal pasti punca jangkitan dan memerlukan aktiviti kawalan yang lebih luas.

“Sebagai rumusan, orang awam dinasihatkan untuk tidak menilai situasi wabak berdasarkan jumlah kes sahaja tetapi juga kepada risiko transmisi.

“Oleh itu, adalah penting untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19,” ujarnya. - Borneo Today
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda