Berita Semasa

PERGERAKAN PENDUDUK DI BATU 5 DAN SETERUSNYA TELAH DIHADKAN

image

SANDAKAN: Bermula Rabu ini, penduduk yang tinggal di Batu 5 dan seterusnya, di sini, tidak dibenarkan ke kawasan Batu 4 hingga pusat bandar untuk membeli-belah.

Keputusan itu dibuat susulan orang ramai masih memandang remeh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sejak PKP fasa satu dilaksanakan, bilangan kenderaan yang bergerak dari Batu 8 ke atas sehingga Batu 5 menuju ke Batu 4 atau pusat bandar melebihi 4,000 kenderaan sehari.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Sandakan yang juga Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Wong Foo Tin, berkata keadaan itu dapat dilihat menerusi kesesakan teruk yang berlaku di kawasan Batu 5.

Katanya, ia melambangkan keadaan tidak sihat ketika dalam tempoh PKP yang mana penduduk sepatutnya terus berada di rumah dan tidak berjalan atau membeli barang setiap hari.

“Biarpun galakan diberikan kepada yang berkemampuan membeli barangan untuk tempoh lebih lama, namun cadangan ini ditentang dan dikritik di laman sosial, selain dianggap remeh.

“Orang ramai harus maklum bahawa setiap kali anda keluar membeli-belah sama ada di pasar raya atau pasar umum, anda menerima risiko baru jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Foo Tin berkata, semua penduduk yang tinggal di kawasan Batu 4 ke bawah atau mereka yang tinggal dalam kawasan bandar juga tidak
dibenarkan melepasi kawasan Batu 5 iaitu kawasan yang diadakan sekatan dan pemeriksaan kenderaan.

Katanya, kebenaran cuma diberikan kepada mereka yang terpaksa berkhidmat di kawasan Batu 4 atau kawasan lain di bandar, tetapi harus menunjukkan kad kerja atau mempunyai surat yang menjelaskan terdapat keperluan penghantaran barang dan perkhidmatan penting.

Jelasnya lagi, Jalan Cecily ditutup kepada semua kenderaan sepanjang PKP fasa ketiga dan mereka yang mahu ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan berjadual atau kes kecemasan perlu menunjukkan surat temujanji.

“Bagi mereka yang hanya sakit biasa atau demam, semua dinasihatkan mendapatkan rawatan di klinik yang terletak dalam zon masing-masing.

“Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan seperti farmasi, bengkel, kedai perkakas, kedai tayar, perkhidmatan kurier dan bank haruslah mengikut zon masing-masing,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda