Sukan

AIYYMAN TIDAK MENYESAL KERANA MEMILIH KUCHING FA

image

KOTA KINABALU: Cabaran baharu, itulah yang diinginkan bekas pertahanan skuad senior Sabah, Mohd Aiyyman Shah Johny Abdullah apabila menerima tawaran menjadi pengendali skuad Piala Presiden Kuching FA.

Katanya, walaupun terpaksa meninggalkan negeri kelahiran, beliau tidak pernah menyesal dengan tindakannya itu.

“Apabila dihubungi (oleh pihak Kuching FA), saya tidak berfikir panjang dan terus menerima tawaran menjadi jurulatih skuad Piala Presiden pasukan itu, saya tidak pernah menyesal dengan keputusan ini.

“Sememangnya saya mahukan satu cabaran baharu dan oleh sebab itu saya juga membuat keputusan untuk tidak meminta kontrak saya bersama Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Aiyyman yang baru berusia 38 tahun sebelum ini bertugas sebagai penolong ketua jurulatih untuk skuad wanita bawah 17 tahun yang berpangkalan di SSMS.

“Saya menerima panggilan daripada pengurus pasukan (Kuching FA) dan saya amat berterima kasih dengan peluang yang diberikan.

“Ini kali pertama saya melatih di luar daripada Sabah,” katanya yang mempunyai pengalaman melatih wakil Sabah dalam Piala FAM pada 2014, penolong jurulatih skuad wanita yang bersaing di Piala AFF dan Sukan Sea serta ketua jurulatih kepada pasukan wanita Sabah dan skuad Piala Belia.

Sementara itu, prestasi skuad kendalian Aiyyman di awal saingan Piala Presiden boleh dikatakan baik apabila mencatat tiga kemenangan dan hanya sekali tewas.

“Kami memiliki ramai pemain baru dalam pasukan (Kuching FA) namun sasaran kami adalah untuk layak ke pusingan kedua,” katanya lagi.

Untuk rekod, Saingan Piala Presiden ketika ini masih lagi dihentikan ekoran penularan pandemik wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda