Bisnes

PNB meyumbang RM23 juta bantu banteras COVID-19

image

UALA LUMPUR: Berikutan pandemik COVID-19 yang berterusan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada Isnin mengumumkan usaha membantu meringankan beban rakyat yang terkesan melalui pelbagai sumbangan, bantuan dan sokongan berjumlah lebih RM23 juta.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz, menegaskan usaha berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab kumpulan itu dan beliau menyeru semua pihak supaya bekerjasama membantu usaha membanteras wabak berkenaan.

“Pada ketika ini, kita perlu berganding bahu bagi membendung penyebaran COVID-19 dan PNB beriltizam untuk menghulurkan bantuan dengan apa cara sekali pun," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dan semua petugas barisan hadapan perubatan memainkan peranan paling kritikal, justeru PNB berbesar hati dapat memberi sokongan dalam bentuk peralatan perubatan penting selain bantuan kewangan.
Katanya, untuk terus membantu usaha pemulihan dan mengurangkan penularan COVID-19, PNB juga telah menyumbang kepada Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) (GDRN).

Belliau berkata, bantuan kewangan juga disalurkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) selain institusi zakat bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan menempuh kesulitan yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Bagi meringankan beban perniagaan yang terjejas akibat kekangan kewangan sepanjang tempoh ini, PNB akan memberi pengecualian bayaran sewa kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyewa hartanah milik PNB.

"Kami berharap agar bantuan ini mampu memberi kesan positif dalam perjuangan menentang pandemik ini," katanya.

Sementara itu, PNB memaklumkan antara sumbangan yang diberikan adalah:

Sumbangan kepada KKM

*Empat buah ventilator penjagaan intensif yang bernilai RM637,560.

*RM3.1 juta kepada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah KKM untuk menaik taraf perkhidmatan ujian diagnostik.

*RM70,180 kepada CPRC untuk membiayai kos peralatan utama yang diperlukan untuk membendung penyebaran COVID-19.

*RM1.97 juta kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan untuk disalurkan kepada 21 hospital yang telah dikenal pasti oleh KKM di seluruh negara bagi tujuan bantuan lanjutan kepada barisan hadapan.

*RM3.5 juta kepada jabatan yang sama untuk disalurkan kepada 41 hospital di seluruh negara, bagi memberi bantuan kewangan segera kepada pesakit yang kurang bernasib baik.

*RM2.3 juta kepada GDRN akan disalurkan bagi membantu KKM membeli bekalan perubatan, peralatan perlindungan diri dan keperluan lain.

*Sumbangan sebanyak RM11.2 juta yang telah disalurkan pada awal tahun untuk membantu KKM dalam pembelian kelengkapan perubatan dan kerja-kerja menaik taraf 23 hospital di seluruh negara.

Sumbangan lain:

*Sebagai sokongan kepada inisiatif yang dilancarkan oleh institusi zakat untuk membantu pemilik perusahaan kecil serta golongan B40 yang terjejas akibat COVID-19, sebanyak RM800,000 telah disumbang kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP.

*Syarikat hospitaliti PNB, Attana Hotels & Resorts Sdn Bhd, mengedarkan makanan kepada barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh, badan pertubuhan bukan kerajaan OKU Sentral serta badan-badan beruniform sebagai tanda penghargaan dan untuk meningkatkan semangat mereka.


Sementara itu, PNB turut merakamkan penghargaan kepada Bank Negara Malaysia dan rakan bank komersial bagi syarikat unit amanah milik penuh PNB, Amanah Saham Nasional Berhad  (ASNB), yang telah memberikan moratorium bagi tempoh enam bulan untuk pinjaman pengguna mulai 1 April 2020.

Inisiatif berkenaan memberikan kelegaan sementara kepada pemegang unit yang telah mengambil pinjaman bagi membiayai pelaburan mereka dalam dana unit amanah Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ASB 2.

Selain daripada sumbangan PNB, syarikat-syarikat pelaburan PNB termasuk Maybank, Sime Darby Berhad, Sime Darby Plantation, Sime Darby Property, UMW Holdings Berhad, SP Setia, Sapura Energy, Duopharma Biotech Berhad, MIDF Berhad dan lain-lain juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif.

Ini merangkumi bantuan kewangan kepada pelbagai saluran sumbangan tabung COVID-19 seperti GDRN dan NGO seperti MERCY Malaysia, serta penajaan peralatan dan bekalan perubatan.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda