Berita Semasa

COVID-19 : 168 PESAKIT TELAH SEMBUH HARI INI

image

KOTA KINABALU: Malaysia hari ini mencatat 168 lagi kes pesakit Covid-19 yang telah sembuh dan dibenarkan pulang, menjadi jumlah keseluruhan kini seramai 2,276 orang.

Jumlah pesakit yang sembuh itu adalah 47.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya, hari ini, turut memaklumkan sebanyak 134 lagi kes positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 4,817 kes.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 66 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 36 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, satu lagi kematian dicatatkan di negara ini, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 77 kes.

Kes kematian ke-77 (kes ke-2797) terbabit merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Pesakit berkenaan merupakan peserta perhimpunan tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur dan dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac 2020 sebelum disahkan meninggal dunia pada 13 April 2020 jam 9.15 pagi./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda