Berita Semasa

Rakyat Malaysia Yang terkandas boleh dibawa pulang dengan kebenaran negara terlibat

image

PUTRAJAYA : Kos membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akan ditanggung individu berkenaan sekiranya kerajaan diberi kebenaran untuk membawa mereka pulang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, penerbangan khas akan diuruskan oleh Kementerian Pengangkutan bagi tujuan berkenaan.

"Wisma Putra sentiasa berbincang dengan pihak berkuasa negara yang terbabit bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas.

"Sekiranya kerajaan diberi kebenaran untuk membawa mereka pulang, kos perlu ditanggung oleh individu yang terbabit dan penerbangan khas akan diuruskan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT)," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Justeru, rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara dan berhasrat untuk pulang dinasihatkan untuk menghubungi Kedutaan Malaysia yang terdekat.

"Kementerian Luar sentiasa komited dalam memastikan kebajikan mereka diberi keutamaan. Bagaimanapun, urusan untuk membawa mereka pulang masih tertakluk kepada peraturan negara yang terbabit. Ini kerana terdapat negara yang telah menguatkuasakan sekatan perjalanan dan membatalkan semua penerbangan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19," tambahnya lagi.
Mereka yang berada di negara terbabit dinasihatkan tinggal di negara tersebut sehingga keadaan pulih.

"Kita ada dengar rakyat kita termasuk pelajar yang pulang melalui penerbangan khas. Namun seperti biasa, kita nasihatkan supaya kalau boleh tinggal di negara tersebut sehingga keadaa pulih," ujarnya.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda