Bisnes

COVID-19: Moody's jangkaan kadar keingkaran hutang global meningkat secara mendadak

image

KUALA LUMPUR: Moody’s Investors Service menjangkakan kadar keingkaran global akan naik kepada paras 10.6 peratus pada penghujung tahun ini dan meningkat lebih tinggi pada kadar 11.3 peratus menjelang penghujung Mac 2021.

Ia berkata, jangkaan itu berdasarkan kepada situasi kemelesetan ekonomi yang dihadapi beberapa kuasa ekonomi global, ekoran pergolakan pasaran dunia akibat tiga kejutan pada Mac tahun ini.

“Pertamanya, pandemik  COVID-19 yang dilihat merebak dengan kadar cukup pantas berbanding apa yang dijangkakan, hingga mengakibatkan ancaman kepada ekonomi global.

“Keduanya, kejatuhan harga minyak ke AS$20 setong - paras terendah yang pernah disaksikan dalam tempoh dua dekad ini.
“Dan ketiganya, kecairan dalam pasaran kewangan yang sangat terhad ekoran kejatuhan harga aset, baik dalam ekuiti mahupun pendapatan tetap pasaran,” katanya dalam satu laporan hari ini.

Moody’s berkata, jangkaan kadar keingkaran hutang itu dibuat berdasarkan kemerosotan ketara dalam ekonomi global menjelang separuh pertama 2020 dan akan meningkat pulih kembali pada separuh kedua 2020 dan 2021.

Ia menjangka kadar penyebaran hasil bon kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan meningkat dan berada pada paras yang disaksikan semasa kemelesetan untuk dua suku tahun seterusnya - 1,261 mata asas (bps) pada suku tahun kedua 2020 (Q2 2020), dan 986 bps pada Q3 2020, sebelum jatuh kepada 735 bps pada Q4, dan terus kepada 588 bps pada Q1 2021.

“Kami seterusnya menjangkakan kadar pengangguran AS akan meningkat ke kepada 8.7 peratus pada Q2 2020, dari 3.8 pada suku tahun sebelumnya, sebelum kekal pada 6.7 peratus untuk tiga suku tahun seterusnya.

“Kami menjangkakan Q2 2020 akan memperlihatkan keadaan terlemah daripada segi aktiviti ekonomi dan pandemik ini akan dibendung menjelang separuh kedua tahun ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Moody’s berkata, pelonggaran arahan penjarakan sosial, serta mengambil kira pakej rangsangan ekonomi oleh bank-bank negara dan kerajaan, akan menyerap sedikit kejutan ekonomi pada separuh pertama tahun ini, dan menyokong kembali pertumbuhan selepas virus itu berjaya dibendung.

Bagaimanapun, ia menjangkakan virus itu akan terus wujud pada tahun 2021, dan berkemungkinan besar akan mewujudkan gangguan ekonomi yang lebih dalam dan besar.

“Senario ini berdasarkan jangkaan bahawa jurang hutang kerajaan AS akan kekal pada paras kemelesetan menjelang empat suku tahun seterusnya, dan memuncak pada kadar 1,755 bps pada suku tahun ketiga.

“Kadar pengangguran AS akan meningkat kepada 17 peratus pada suku tahun kedua, dan kekal pada paras 10 peratus untuk tiga suku tahun seterusnya.

“Di bawah senario ini,  jangkaan keingkaran global dengan gred spekulatif akan meningkat kepada 16.3 peratus menjelang penghujung Mac 2021,” katanya lagi.

Moody’s berkata, ia menjangkakan sektor perhotelan, perjudian dan hiburan di Eropah dan AS akan mengalami kadar ingkar tertinggi memandangkan ia paling terdedah kepada wabak COVID-19 ini.

Bagaimanapun, jika diambil kira kadar keingkaran hutang, sektor minyak dan gas (O&G) dilihat paling terkesan, katanya lagi.

“O&G, yang mengalami beberapa siri kadar keingkaran sewaktu kejatuhan harga komoditi pada 2015-16, akan terjejas teruk kali ini berdasarkan kombinasi beberapa faktor.

“Faktor itu termasuk kejutan bekalan minyak kerana AS dan Arab Saudi gagal mencapai kata sepakat untuk menurunkan jumlah penghasilan minyak, serta kejutan permintaan ekoran impak COVID-19 ke atas pasaran global,” katanya lagi.

Pada Ahad, negara pengeksport minyak, OPEC dan rakan bukan OPEC, OPEC+, mencapai kata sepakat untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak hampir 10 juta tong sehari bermula 1 Mei.

Ini dijangka akan menolak harga komoditi itu sehingga AS$15 setong.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda