Jenayah

MERUSUH UNTUK MELOLOSKAN DIRI DARI PTS

image

KOTA KINABALU: Seramai 18 tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal, di sini, merusuh dan meloloskan diri dari pusat terbabit, semalam.

Bagaimanapun, 11 daripada mereka berjaya ditahan semula oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan pengawal di kawasan berhampiran PTS berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 3.30 petang semalam, apabila seramai 18 tahanan di PTS Manggatal, merusuh dalam cubaan meloloskan diri di pusat tahanan berkenaan.

“Seramai 18 tahanan bertindak merempuh untuk meloloskan diri menyebabkan seorang pengawal di pusat tahanan itu cedera di kepala dan muka ketika cuba menahan suspek.

“Bagaimanapun lima suspek berjaya ditahan semula di dalam kawasan pusat berkenaan manakala 13 meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang di pusat tahanan berkenaan,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Habibi berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai kejadian itu segera bergegas lokasi kejadian untuk mengepung kawasan pusat tahanan berkenaan.

“Kita mengerahkan semua elemen-elemen berkaitan termasuk Unit Anjing, Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan anggota dari Balai Polis Manggatal.

“Hasilnya kita berjaya menahan semula enam suspek iaitu lima ditahan semalam dan seorang suspek ditahan pagi tadi,” katanya.

Menurutnya, operasi menjejaki tujuh lagi suspek yang masih bebas giat dijalankan.

“Semua suspek adalah tangkapan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dalam operasi baru-baru ini di sekitar Kota Kinabalu.

“Semua suspek warga Filipina termasuk tujuh suspek yang masih bebas berusia 21 hingga 50 tahun. Usaha menjejaki semua mereka sedang giat dijalankan.

Tambah beliau lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tujuh suspek terbabit diminta segara tampil ke balai-balai berdekatan bagi menahan semua suspek terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari tahanan yang sah,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda