Kesihatan

KKM menasihati tangguh sementara operasi kedai gunting rambut

image
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan kerajaan mengekalkan tindakan digunakan pakai dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa satu dan dua bagi tempoh lanjutan bermula Rabu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan seharusnya diperketatkan untuk fasa ketiga.

“Dari segi perancangan untuk buka (kedai gunting rambut) atau hadkan pergerakan, KKM mengesyorkan kekalkan tindakan dilaksanakan pada fasa satu dan dua.

“Mungkin perancangan (membuka kedai gunting rambut) boleh dijalankan tetapi pelaksanaan ditangguhkan sementara,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian mengulas cadangan kerajaan membenarkan operasi kedai gunting rambut sepanjang pelaksanaan PKP fasa ketiga.

Menurutnya, mungkin selepas fasa ketiga, rakyat tidak akan dapat kembali ke kehidupan kelaziman tetapi KKM nasihatkan kepada semua perlu amalkan penjarakan sosial.

“KKM nasihatkan kepada semua perlu amalkan penjarakan sosial selamat yang pertama. Kedua, mungkin tidak adakan perhimpunan kerana perhimpunan akan bawa mereka bersama di mana keberangkalian untuk jangkitan atau kebolehjangkitan Covid-19 mungkin berlaku.

“Jadi kita kena putuskan rangkaian Covid-19 walaupun selepas PKP tamat dan inilah nasihat kita,” katanya.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda