Jenayah

Jumlah penahanan harian individu yang ingkar PKP meningkat kepada 1,220 - Ismail Sabri

image

KUALA LUMPUR: Biar pun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memasuki hari ke-26, ternyata masih ramai yang ingkar, dedah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya hari ini.

Dalam sidang media harian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri berhubung PKP, beliau berkata, seramai 1,220 individu telah ditahan semalam, merangkumi 854 individu dikenakan kompaun RM1,000, 345 individu direman, dan 21 individu dijamin polis.

“Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan 2,156 manakala jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga 11 April 2020 (semalam) adalah sebanyak 8,125 individu,” katanya lagi.

Selain itu, Ahli Parlimen Bera itu berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 783 Sekatan Jalan Raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 435,361 kenderaan.
Beliau berkata, sebanyak 48,123 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,158 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

Berhubung denda RM1,000 yang dirasakan terlalu rendah, Ismail Sabri berkata, akta yang digunakan sepanjang PKP perlu dipinda terlebih dahulu untuk dinaikkan jumlah denda atau hukuman penjara.

Namun katanya lagi, polis juga mempunyai pilihan untuk mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap kes-kes tertentu, termasuk pilihan menghadapkan mereka yang ingkar PKP ke mahkamah.

“Saya percaya (selepas ini) polis akan lebih ke arah menghadapkan yang ingkar ini ke mahkamah. Kes bukan setakat ingkar PKP, tapi kes di bawah Kanun Kesiksaan seperti menghalang tugas penjawat awam dan pelbagai lagi.

“Ada yang langgar polis dan sebagainya, perkara itu juga akhirnya menyebabkan mereka (yang ingkar ini) akan dituduh di bawah tuduhan yang meberikan hukuman lebih berat lagi,” katanya.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda