Bisnes

PKP 3: Kerajaan melaksana Skim Kawalan Harga, elak peniaga ambil kesempatan

image
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan skim harga maksimum sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan tidak ada peniaga yang cuba menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebiasaannya skim itu dilaksanakan sewaktu musim perayaan, namun kerajaan melihat ia perlu dilaksanakan untuk memastikan tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.
“Kita faham kemungkinan ada peniaga yang tidak bertanggung jawab, mungkin akan ambil kesempatan untuk naikkan harga. Oleh itu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri berhubung PKP hari ini memutuskan pelaksanaan skim kawalan harga maksimum.

“Skim ini biasanya akan dilaksanakan sewaktu musim perayaan, tapi kita memutuskan untuk tak perlu tunggu, masuk saja PKP 3 (15 April) ini, skim kawalan harga maksimum mesti dilaksanakan dan senarai produk akan diumum oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bera itu berkata, KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan khas ke atas keseluruhan rantaian bekalan - peniaga, peruncit, pemborong dan pengilang - untuk memantau bekalan 25 barangan keperluan harian.

Beliau berkata, pemantauan dan pemeriksaan itu mendapati bekalan ada pada tahap yang stabil untuk PKP 3 yang akan berakhir pada 28 April ini.

Selain itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga memberi jaminan bekalan makanan kering dan basah turut berada pada tahap memuaskan.

“Tak perlu bimbang dari segi cukup atau tidak kerana kedua-dua kementerian ini telah buat pemeriksaan dan bekalan mencukupi. Harap tidak timbul pembelian panik dan sebagainya kerana semuanya mencukupi,” katanya lagi.


Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda