Sukan

SKA AKAN MENYUSUN SEMULA PROGRAM LATIHAN SKUAD SUKMA

image

KOTA KINABALU: Persatuan Karate Sabah (SKA) akan menyusun semula program latihan skuad Sukan Malaysia (Sukma) negeri selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Sukma yang memasuki edisi ke-20 pada tahun ini sepatutnya berlangsung di Johor dari Julai 11-19 tetapi telah ditunda sebagai langkah berhati-hati ekoran pandemik Covid-19.

Jawatankuasa Tertinggi Sukma baru-baru ini telah mencadangkan temasya sukan terbesar negara itu mungkin akan diadakan pada Disember ini atau dianjak ke 2021, bergantung kepada perkembangan Covid-19 serta beberapa perkara lain.

“Kita belum mengetahui tarikh yang ditetapkan…selepas ianya diumum baru lah kita boleh menyusun semula program latihan untuk skuad Sukma kita secara terperinci,” kata setiausaha agung SKA, Julian Chin

Walaupun begitu, Julian berkata atlit-atlit yang terpilih dalam senarai awal skuad Sukma Sabah masih menjalani latihan di rumah masing-masing sepanjang tempoh PKP.

“Kesemua atlet Sukma karate Sabah telah pulang ke kampung masing-masing dan mereka telah diberi program latihan oleh para jurulatih sepanjang tempoh PKP.

“Ini adalah memastikan mereka sentiasa berada di tahap yang baik, termasuk kecergasan mereka.

“Bagaimanapun, ianya adalah sedikit sukar untuk melihat kemajuan mereka secara dekat. Tambahan pula kami tidak tahu sejauh mana mereka boleh membuat latihan sepenuh masa kerana mereka juga mempunyai komitmen pembelajaran (secara atas talian).

“Saya berharap mereka akan menunjukkan disiplin terbaik dan memberi komitmen jitu. Kita akan panggil mereka balik untuk latihan di sini selepas tempoh PKP diumumkan berakhir,” Kata Julian yang juga berharap para atlitnya sentiasa menjaga kesihatan mereka.

Untuk rekod, tempoh PKP telah dikuatkuasakan sejak Mac 18 sebelum dilanjutkan kedua kalinya sehingga April 28.

Sementara itu, Julian juga memaklumkan Kejohanan Karate Senior Kebangsaan di mana Sabah akan menjadi tuan rumah pada Jun juga dalam pemerhatian sehingga diberitahu kelak./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda