Jenayah

INGKAR PKP UNTUK MENDAPATKAN BEKALAN DADAH

image

KINABATANGAN: Polis menahan lima lelaki yang bukan saja ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah turut membawa dadah dalam tiga kes berasingan di sekitar daerah ini, semalam.

Kes pertama membabitkan dua warga asing berusia 29 dan 49 tahun yang ditahan dalam sekatan jalan raya di Kilometer 110 Kampung Batu Puteh, di sini, pada jam 9.15 pagi.

Hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu dengan kedua-dua suspek mengaku pergerakan mereka adalah untuk mendapatkan bekalan dadah daripada Kampung Paris 2.

Selang 40 minit selepas itu, dua lagi lelaki tempatan berusia 30 dan 34 tahun yang menaiki sebuah motosikal ditahan, sebelum polis menemui tiga paket dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam beg galas.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan,
Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata kedua-dua suspek juga mengaku bergerak keluar bagi mendapatkan bekalan dadah.

Katanya, seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 40 tahun ditahan oleh Unit Peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan ketika membuat pemantauan PKP di Kampung Buang Sayang.

“Suspek yang memandu kereta jenis PROTON Pesona ditahan selepas kerana dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan menemui sejumlah wang dipercayai hasil jualan dadah.

“Suspek mengaku menjual dadah di kawasan kampung itu sejak beberapa hari lalu,” katanya di sini, hari ini.

Dzulbaharin berkata, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1958 kerana memiliki dadah dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 kerana melanggar PKP.

Beliau menegaskan polis akan memperketatkan penguatkuasaan PKP di daerah itu dan melaksanakan pemeriksaan menyeluruh ke atas kenderaan yang melintas sekatan jalan raya yang dilaksanakan di tiga lokasi berasingan serta rondaan pegawai pemantau yang ditubuhkan sejak PKP.

“Selain pastikan PKP berada di tahap optimum, kita juga gerakkan elemen lain untuk mencegah jenayah selari dengan penugasan PKP.

“Buat masa ini, pematuhan PKP di daerah ini adalah 99 peratus dan usaha ini akan diteruskan untuk fasa ketiga PKP,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda