Jenayah

Kita Usaha bersama banteras berita palsu semasa COVID-19, PKP - Saifuddin

image
KUALA LUMPUR: Masyarakat dinasihatkan untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu maklumat berhubung wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum dikongsi dalam media sosial bagi mengelak penyebaran berita palsu dan maklumat tidak tepat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata ketika Malaysia menghadapi masalah krisis COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini dan petugas barisan hadapan bertungkus-lumus mengekang penularan wabak itu, kini berita palsu dan maklumat tidak tepat kini menjadi masalah yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.
"Ini satu perkara yang menyedihkan..kita semua berjuang bersama-sama dalam memerangi pandemik ini tetapi malangnya adalah yang berkongsi berita palsu. Setakat ini, saya percaya polis telah mengambil tindakan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mendakwa enam orang.

"Setiap hari, kita perlu mempersiapkan pasukan respons pantas untuk menjelaskan sebarang isu berhubung COVID-19 dan menangkis berita palsu. Setiap hari kita ada lapan hingga sembilan isu yang perlu diperjelaskan...sehingga kini 120 isu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangannya mengenai impak dan peranan komunikasi dalam temu bual dengan Bernama TV menerusi Skype pada program 'The Nation", pada Sabtu.

Saifuddin berkata perjuangan untuk menghentikan berita palsu adalah jauh daripada berakhir dan masyarakat perlu dididik setiap hari menerusi pelbagai platform termasuk media sosial dan media arus perdana dalam negara.

"Bukan mudah...tetapi ada beberapa perkara. Kita perlu terus mendidik orang ramai bahawa kita mesti menggunakan kecerdasan kita untuk melihat semua jenis berita, kisah, laporan yang kini dikongsi menerusi laman sosial.

Orang ramai sangat gembira untuk berkongsi apa sahaja yang mereka terima. Rayuan kami untuk rakyat supaya menyemak maklumat yang anda terima, fikir dahulu dan lihat sama ada ia benar atau sebaliknya. Kami mempunyai portal 'sebenarnya.my untuk anda menyemak kesahihan maklumat.

" Salah satu perkara yang sering saya ulangi....sebelum berkongsi maklumat, fikirlah tentang Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah). batalion doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang bergelut membanteras pandemik ini.

"Adakah anda membantu dengan berkongsi dan membuat penghantaran (berita palsu)?," katanya.

Selain menentang berita palsu, Saifuddin berkata kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan kementerian lain dalam memperjelaskan isu-isu semasa, misalnya, pelajar universiti di kampus tidak dibenarkan pulang ke rumah dan pembatalan bazar Ramadan tahun ini.

Saifuddin menegaskan bahawa ia adalah penting untuk menangani isu-isu ini untuk mengelak maklumat tidak tepat mengenai usaha kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19.

Ditanya peranan syarikat gergasi teknologi seperti Facebook, Twitter dan media sosial lain serta syarikat telekomunikasi dalam membantu usaha kerajaan melawan pandemik ini, katanya, sebilangan hantaran dan mesej yang dihantar kepada rakyat setiap hari dalam media sosial itu telah dikeluarkan.

"Kami mahu semua orang berada dalam keadaan selamat. Dalam keadaan mencabar ini, kita semua dapat lakukan secara bersama dengan berkongsi kasih sayang dan bukan menyebarkan rasa ketakutan...inilah cara ke hadapan. Kita perlu belajar kebiasaan baharu," katanya.

Saifuddin menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap tindakan menyebarkan berita palsu khususnya ketika negara berdepan dengan usaha memerangi wabak COVID-19.

Beliau berkata masyarakat perlu mengamalkan nilai-nilai murni, kebebasan, demokrasi dan hak untuk mendapatkan maklumat tetapi pada sama sama, kerajaan juga perlu mengambil tindakan terhadap pihak yang mengambil kesempatan untuk menyebarkan berita palsu.

-- BERNAMA
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda