Berita Semasa

Polis Melaka Tengah tubuh pasukan khas, pertingkat kawalan Pergerakan

image

MELAKA: Polis Daerah Melaka Tengah mempertingkatkan kawalan dengan mewujudkan tiga pasukan petugas khas bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19 di daerah itu selepas dikategorikan sebagai zon merah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad berkata, langkah itu bagi mengawal pergerakan yang tidak perlu sekali gus mempertingkatkan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Untuk tingkatkan pematuhan orang ramai kepada PKP, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka tengah mewujudkan tiga pasukan ‘task force’ bagi mengadakan sekatan jalan raya (SJR) secara ‘mobile’ (bergerak) di lokasi-lokasi tertentu.

“Pasukan ini akan mendirikan SJR di dua atau tiga lokasi berbeza setiap hari berdasarkan hasil pemantauan atau aduan-aduan yang diterima,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu Afzanizar berkata, lokasi SJR juga akan ditambah kepada lapan lokasi tetap berbanding enam lokasi sebelum ini yang dijalankan di daerah itu, dalam tempoh 24 jam.

Jelasnya, sejak tempoh PKP fasa pertama sehingga Jumaat, polis daerah Melaka Tengah telah menerima 155 laporan dan membuka 101 kertas siasatan.

“Manakala jumlah kes yang dikompaun bermula 8 April lalu adalah sebanyak 35 kes yang membabitkan 57 individu,” tambahnya.

Daerah Melaka Tengah, Melaka menjadi kawasan terbaharu yang dikategorikan sebagai zon merah COVID-19, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan zon tersebut meningkat kepada 26 kawasan di seluruh negara setakat 12 tengah hari Jumaat.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM), daerah tersebut mencatatkan 44 kes positif pandemik tersebut.

Melaka Tengah sekali gus menjadi daerah kedua di negeri itu yang diklasifikasikan sebagai zon merah selepas Jasin (61 kes) manakala satu lagi daerah iaitu Alor Gajah di kategorikan sebagai zon jingga dengan 28 kes,  menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu adalah 133 kes.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda