Berita Semasa

PKP: Pasar Foh Sang diarah berhenti operasi serta merta!

image

KOTA KINABALU: Pasar harian Foh Sang Luyang diarahkan berhenti operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Sabah Covid-19 Command Centre Datuk Safar Untong berkata Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai kesesakan yang berlaku di Pasar Foh Sang, Kota Kinabalu setiap hari.

Dalam satu kenyataan ringkas di sini hari ini, Safar berkata arahan tidak membenarkan pasar tersebut beroperasi berkuatkuasa serta merta.

Beberapa keping gambar menunjukkan kawasan Foh Sang yang penuh sesak dengan kenderaan dan orang ramai awal pagi tadi tular di media sosial.

Ini mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata kecewa dan khuatir keadaan tersebut boleh membantutkan usaha pihak berkuasa memutuskan rantaian penyebaran Covid-19 di Sabah.

Menteri Belia dan Sukan, Ginger Phoong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Luyang turut melahirkan kebimbangan apabila melihat gambar-gambar tersebut.

“Saya amat bimbang apabila melihat gambar-gambar itu pagi tadi. Saya percaya semuapun berasa demikian,” katanya dalam posting di Facebook beliau.

Beliau menambah perkara itu akan beliau bincangkan dengan pihak-pihak berkuasa bagi langkah selanjutnya.-SabahNewsToday

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda