Berita Semasa

Pelanjutan PKP: Kerjasama berterusan Dari rakyat penting untuk putuskan rantaian Covid-19

image

TUARAN: Rakyat perlu meneruskan kerjasama dalam usaha memutuskan rangkaian Covid-19 di negeri Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata langkah Kerajaan Persekutuan menyambung semula tempoh Perintah Kawalan Pergerakan membuktikan kesungguhan bagi menyelesaikan krisis wabak pandemik di negara ini dengan segera.

“Antara kerjasama yang sangat penting ialah kesedaran untuk mengetahui bahawa setiap diri kita ini adalah pembawa kepada Covid-19. Oleh itu, semua kita perlu menggunakan topeng penutup hidung dan mulut serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan.

“Ini termasuklah menjaga jarak sosial, menjaga kebersihan diri dan sentiasa berada di rumah jika tidak ada keperluan penting untuk berada di luar. Ia bagi mengelakkan kita daripada dijangkiti Covid-19 dan kemudiannya menjangkiti orang lain,” katanya.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan 100 pakej bekalan makanan kepada warga emas, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya dan miskin tegar di PPR Taman Gayang Ria, di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan agar orang ramai tidak teruja dengan pengumuman berkaitan beberapa operasi perniagaan dan industri yang akan dibuka bermula PKP fasa ke-3.

“Kesemua pihak perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan ditetapkan pihak Kesihatan dalam memastikan langkah pencegahan tetap diamalkan ketika berurusan pada perniagaan atau premis yang dibuka semula.

“Sebagai contoh kedai gunting rambut, ia seharusnya ada SOP untuk memastikan pematuhan kepada jarak sosial. Demikian juga di kilang-kilang, ada syarat-syarat perlu dipatuhi yang diberikan oleh pihak kerajaan,” katanya yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah.

Mengulas lanjut beliau berkata kerajaan pada ketika ini sebenarnya dalam usaha menyelamatkan dua perkara utama.

“Yang pertama dan menjadi keutamaan ialah menyelamatkan nyawa manusia. Maka itulah sebabnya pihak kerajaan negeri sudah menangguhkan lebih awal penerbangan dari China walaupun negara itu menyumbang hasil ekonomi negeri Sabah melalui kehadiran lebih sejuta pelancong setiap tahun.

“Keputusan ini sebenarnya agak berat namun satu keputusan yang tepat. Saya percaya jika langkah ini tidak diambil sebelum langkah-langkah susulan yang lain, keadaan di Sabah mungkin jauh lebih terkesan akibat penyakit Covid-19 berbanding apa yang ada sekarang.

“Yang kedua ialah kita mahu selamatkan ekonomi kerana kalau ekonomi kita mati maknanya manusia juga akan terjejas tiada tempat bekerja. Jadi kedua-dua perkara ini amat penting bagi kerajaan negeri iaitu nyawa manusia dan ekonomi,” ujar Madius.

Hadir sama, Setiausaha Politiknya Joisin Romut serta Ketua-ketua Aras PPR Gayang Ria 1.-SabahNewsToday

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda