Bisnes

Sektor pelancongan telah meyumbang RM86.14 bilion kepada ekonomi Malaysia pada 2019

image
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan peningkatan pendapatan pelancongan sebanyak 2.4 peratus kepada RM86.14 bilion manakala jumlah ketibaan pelancong pula menambah 1.0 peratus kepada 26.1 bilion pada 2019 daripada angka tahun sebelumnya.

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) berkata bagi tempoh yang sama, prestasi pelancongan negara juga mencatatkan pertumbuhan dari segi perbelanjaan per kapita sebanyak 1.3 peratus kepada RM3,300 manakala Purata Tempoh Tinggal (ALOS) bertambah 0.9 malam kepada 7.4 malam.
Pertumbuhan ketibaan pelancong disumbangkan oleh pasaran Asia Selatan (22.2 peratus), Asia Timur (5.9 peratus), Amerika (4.3 peratus) dan Eropah (0.3 peratus), menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Tourism Malaysia berkata bagaimanapun ketibaan pelancong dari pasaran ASEAN susut 1.3 peratus dan dari pasaran Asia Barat juga berkurangan 2.1 peratus.
10 negara yang mencatatkan bilangan ketibaan pelancong antarabangsa tertinggi ke negara ini pada 2019 iaitu Singapura (10,163,882), Indonesia (3,623,277), China (3,114,257), Thailand (1,884,306), Brunei (1,216,123), India (735,309), Korea Selatan (673,065), Jepun (424,694), Filipina (421,908) dan Vietnam (400,346), katanya.

Agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata dari segi keseluruhan perbelanjaan pelancong, penyumbang terbesar kekal dari pasaran ASEAN dengan jumlah nilai RM43.72 bilion.

Pelancong Asia Barat merekodkan perbelanjaan per kapita tertinggi iaitu sebanyak RM10,214, peningkatan 2.7 peratus daripada RM9,947 pada 2018, menurutnya.

Tiga komponen utama pengagihan perbelanjaan pelancongan tertinggi adalah melibatkan aktiviti beli-belah (33.6 peratus), penginapan (24 peratus) serta makanan dan minuman (13.3 peratus).

"Sekali lagi, perbelanjaan aktiviti beli-belah melebihi perbelanjaan penginapan dengan peningkatan daripada 33.4 peratus pada 2018 kepada 33.6 peratus pada 2019," kata Tourism Malaysia.

Ia berkata pasaran yang menunjukkan peningkatan ALOS pula ialah Asia Barat (9.8 malam), Eropah (8.8 malam), Amerika (8.2 malam), Asia Barat (6.5 malam), Asia Selatan (6.4 malam) dan ASEAN (4.9 malam).

-- BERNAMA
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda