Luar Negara

COVID-19: Thailand megesahkan 50 kes baharu, satu kematian

image

BANGKOK: Thailand merekodkan 50 kes baharu COVID-19 dan satu kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,473 kes dan 33 kematian sejak penularan wabak itu pada Januari.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kematian itu melibatkan seorang wanita warganegara Thailand berumur 43 tahun yang menghidap Systemic lupus erythematosus (SLE).

"Virus itu telah merebak ke 68 daripada 77 wilayah di Thailand. Daripada 2,473 kes, Bangkok merekodkan 1,262 kes diikuti Phuket 166 kes, Nonthaburi (148), Samut Prakan (108), Yala (77), Chon Buri (73), Pattani (66), Songkhla (47) dan Chiang Mai (40).

"Daripada 2,473 kes, sebanyak 2,473 telah pulih dah didiscaj daripada hospital," katanya semasa taklimat harian COVID-19 di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata kebanyakan kes COVID-19 yang dilaporkan di Thailand terdiri daripada tiga kumpulan iaitu kumpulan yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan, warga Thailand yang pulang dari luar negara dan kerjaya yang berisiko.

Mengenai sambutan Festival Songkran dari 13 hingga 15 April, Thaweesilp menyeru orang ramai supaya mengelak daripada melakukan perjalanan dan melawat ibu bapa di kampung halaman bagi mengelak kumpulan berisiko itu dijangkiti virus berkenaan.

"Ramai yang mungkin merancang untuk pulang ke rumah dan melawat ibu bapa serta mengadakan perjumpaan dengan keluarga. Pada masa ini, perhimpunan akan meningkatkan kadar jangkitan dalam kalangan warga tua.

"Setiap orang perlu mengamalkan penjarakan sosial dan berada di rumah," katanya.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Pornpipat Benyasri berkata kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan masa perintah berkurung meskipun terdapat lebih 1,000 orang yang melanggar perintah itu sejak pelaksanaannya pada 3 April.

Setakat hari ini, sebanyak 1,152 telah melanggar perintah berkurung. Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha mengumumkan perintah berkurung di Thailand dari 10 malam sehingga 4 pagi pada 3 April lepas bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19 di negara itu.

-- BERNAMA
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda