Bisnes

Lazada Malaysia lancar dana berjumlah RM10 juta untuk PKS tempatan

image
KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia telah melancarkan dana berjumlah RM10 juta, Pakej Kedai Pintar, untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan untuk menjual produk mereka dalam talian dari April hingga Jun 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini Lazada Malaysia berkata inisiatif itu bertujuan untuk memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 PKS tempatan, terutamanya mereka yang berada dalam kategori makanan segar dan barangan runcit, penjual eDagang
baharu dan sedia ada, serta kedai-kedai peruncit yang merancang untuk berniaga di bazar Ramadan.

PKS yang layak akan menikmati perkhidmatan penghantaran secara percuma dan menerima pembayaran mingguan secara tetap. Satu pasukan yang berdedikasi juga telah ditubuhkan untuk mengawal selia, melatih dan mengembangkan kempen jualan untuk PKS mengikut kesesuaian melalui Universiti Lazada.

"PKS daripada kategori makanan segar dan runcit, serta penjual Lazada baharu dan sedia ada juga layak mendapat komisen sifar dan yuran penyenaraian sifar, dan juga akses kepada kemudahan pinjaman mikro," katanya.

Melalui inisiatif ini, peruncit PKS baharu, mahupun yang tidak mempunyai banyak pengalaman dalam eDagang, boleh menjangkakan 100 daripada kos berniaga dalam talian mereka ditanggung, mampu mempelbagaikan sumber pendapatan pada platform Lazada di mana satu daripada tiga rakyat Malaysia adalah merupakan pengguna Lazada.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow berkata PKS tempatan adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi negara serta kehidupan masyarakat, dan dengan membantu mereka, kami berharap untuk meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia di tengah-tengah penularan COVID-19.

"Ini adalah tanggungjawab semua pengendali platform untuk menyokong para peniaga yang telah memberi kepercayaan kepada kami selama ini.

"Kami ingin membantu sesiapa sahaja yang mempunyai perniagaan. Tanpa apa-apa bayaran atau caj, anda boleh terus menjalankan perniagaan dan mendapat faedah daripada kepakaran eDagang serta infrastruktur logistik Lazada yang bertaraf dunia," katanya.
-- BERNAMA
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda