Sabah dan Sarawak Diiktiraf Wilayah, Peruntukan Mesti Seimbang Dengan Semenanjung – UPKO

Sabah dan Sarawak Diiktiraf Wilayah, Peruntukan Mesti Seimbang Dengan Semenanjung – UPKO

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, 15 Jan : Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau meminta agar peruntukan yang seimbang diberikan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung selepas status kedua-dua negeri itu sebagai wilayah digazetkan kelak.

Beliau berkata sehubungan itu, Sabah dan Sarawak perlu diperuntukkan satu pertiga dana Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia dan juga belanjawan tahunan negara. 

“Keperluan ini perlu diinstitusikan. Bukan hanya satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, yang menjadi perhatian baru-baru ini, tetapi satu pertiga pembangunan, peruntukan dan dana serta perhatian yang seimbang,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Ke-16 di sini hari ini

Beliau berkata UPKO mahu tumpuan yang lebih luas diberikan kepada Sabah dan Sarawak merangkumi setiap aspek kehidupan rakyat, kemudahan dan prasarana berkualiti yang merupakan asas kepada taraf sosioekonomi. 

“Apabila kita bercakap mengenai sasaran mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), ia tidak harus kekal di bibir dengan mendakwa Malaysia menerima pakai SDG yang dirangka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia harus diterjemah dan dilaksanakan bagi membawa pembangunan mapan. 

“Kita tidak mahu Sabah kekal tinggal sebagai negeri miskin dalam 50 tahun lagi. Kita tidak bercakap mengenai ketiadaan kemudahan air berkualiti dalam 50 tahun lagi. Kita tidak mahu bercakap mengenai kewujudan sekolah yang uzur dalam 50 tahun lagi,” katanya.

Sementara itu, Madius meminta agar Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick yang bakal menerajui parti berkenaan untuk terus berusaha memperkasakan lagi parti itu agar ia sentiasa relevan dengan peredaran zaman.

“Hari ini kita berada dalam lanskap politik baharu. Ia memerlukan pendekatan kepemimpinan yang baharu. Saya pohon semua pihak dalam parti memainkan peranan lebih efektif, bersandarkan pendekatan baharu, untuk berjaya dalam perjuangan kita…utamakan faedah jangka panjang untuk parti dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata UPKO perlu mengelakkan perkara dibenci rakyat seperti amalan politik perkauman, sikap angkuh, pelampau agama dan perbuatan rasuah.

Ewon bakal mengambil alih jawatan Presiden UPKO secara rasmi daripada Madius pada Persidangan Tritahunan UPKO Ke-16 petang ini selepas muncul sebagai calon tunggal jawatan itu, manakala Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran akan dilantik sebagai Presiden Kehormat UPKO. – BERNAMA