MOHAMMAD YUSOF APDAL ANTARA TUJUH DILANTIK SEBAGAI TIMBALAN MENTERI

MOHAMMAD YUSOF APDAL ANTARA TUJUH DILANTIK SEBAGAI TIMBALAN MENTERI

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Apdal antara tujuh Timbalan Menteri dari Sabah yang dilantik dalam Kerajaan Perpaduan.

Senarai Timbalan Menteri itu diumumkan sebentar tadi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohammad Yusof yang merupakan Ahli Parlimen Parti Warisan (Warisan) dilantik sebagai Timbalan Pendidikan Tinggi.

Turut tersenarai sebagai Timbalan Menteri ialah Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Aminah Aching, Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Datuk Arthur Joseph Kurup, Datuk Mohamad Alamin (Kimanis), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Mustapha Sakmud (Sepanggar).

Aminah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi; Foong Hin dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Arthur Kurup sebagai Timbalan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi; Mohamad dilantik Timbalan Menteri Luar Negeri, Khairul Firdaus dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya; dan Mustapha pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Sebelum ini, dua Ahli Parlimen dari Sabah turut diumumkan sebagai menteri iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (Penampang) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali (Papar).