Seorang Duda kena penjara 5 tahun bakar rumah ibu, kereta ibu saudara

Seorang Duda kena penjara 5 tahun bakar rumah ibu, kereta ibu saudara

Kongsikan Berita Ini

KUALA TERENGGANU: Seorang duda dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Rabu atas pertuduhan membakar rumah dan kereta milik ahli keluarganya.

Hukuman itu diputuskan Hakim Nooriah Osman selepas Md sofian Md Noor, 37, mengaku bersalah atas dua pertuduhan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa telah melakukan khianat menggunakan api dengan niat menyebabkan kebinasaan terhadap rumah milik ibunya yang berusia 61 tahun.

Kesalahan itu dilakukan pada 26 November lalu di Kampung Syukur, Dungun jam 3.45 petang.

Selain itu tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan khianat menggunakan api dengan niat untuk menyebabkan kerosakan kereta milik ibu saudaranya pada jam 4.20 petang di tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 kanun yang sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara bagi pertuduhan pertama dan satu tahun penjara bagi pertuduhan kedua. Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap iaitu 26 November lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail.