Pemimpin AS dan Perancis kutuk ujian peluru berpandu Korea Utara

Pemimpin AS dan Perancis kutuk ujian peluru berpandu Korea Utara

Kongsikan Berita Ini

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan rakan sejawatnya dari Perancis Emmanuel Macron pada Khamis mengutuk sekeras-kerasnya ujian peluru berpandu balistik yang dilancarkan Korea Utara baru-baru ini, sambil menyifatkan ia sebagai ancaman kepada keamanan dan kestabilan serantau, lapor Agensi Berita Yonhap.

Para pemimpin itu juga bersetuju untuk terus menjalin kerjasama menerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi meminta Korea Utara bertanggungjawab, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan susulan sidang kemuncak dua hala mereka di Washington.

“Dua pemimpin itu juga mengutuk sekeras-kerasnya jumlah ujian peluru berpandu balistik yang dilancarkan Pyongyang, yang tidak pernah berlaku sebelum ini serta disifatkan melanggar pelbagai resolusi UNSC termasuk menimbulkan ancaman kepada keamanan dan kestabilan serantau.

Kedua pemimpin itu juga komited meneruskan penyelarasan di UNSC untuk menangani pelanggaran Korea Utara,” menurut kenyataan itu.

Kecaman itu dibuat susulan siri ujian peluru berpandu Korea Utara baru-baru ini.

Pyongyang telah melancarkan 63 ujian peluru berpandu balistik tahun ini, termasuk lebih 30 peluru berpandu balistik dilancarkan sejak 25 September.

AS berusaha untuk mengenakan sekatan tambahan menerusi UNSC ke atas Korea Utara susulan provokasi peluru berpandunya termasuk 10 ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), tetapi China dan Rusia bertindak menggunakan kuasa veto menolak resolusi terbabit. — BERNAMA

— AWANI