DUN Sabah: Pemohonan bantuan kebajikan secara ‘online’ di Sabah mulai Jan 2023

DUN Sabah: Pemohonan bantuan kebajikan secara ‘online’ di Sabah mulai Jan 2023

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) membangunkan satu sistem baharu permohonan bantuan kewangan secara dalam talian beroperasi bermula 1 Januari 2023.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng berkata, permohonan dalam talian itu disediakan bagi memberi kemudahan kepada permohonan demi keselesaan dan kesejahteraan mereka.

“Berhubung dengan isu mereka yang masih menunggu bantuan kebajikan, sebagai makluman jumlah peruntukan tahunan yang disediakan untuk bantuan kebajikan terutamanya untuk warga emas adalah terhad.

“Oleh itu, bukan semua warga emas dapat diberi pertimbangan dalam permohonan baharu mereka dan mereka perlu memenuhi syarat kelayakan permohonan serta tertakluk kepada kedudukan kewangan sedia ada yang belum ada komitmen.

“Selain daripada sistem sedia ada, Kementerian saya melalui JPKA telah membangunkan satu sistem baharu permohonan bantuan kewangan secara dalam talian iaitu (https://jpka.sabah.gov.my) yang beroperasi pada 1 Januari 2023,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Dr Daud Yusof (Bongawan-Warisan) yang ingin tahu apakah inisiatif dan bantuan yang boleh diberikan kepada orang tua, keluarga daif dan miskin tegar kerana ada segelintir daripada mereka telah dihentikan bantuan kebajikan yang mereka terima dan ada juga yang sedang berusaha untuk memohon bantuan kebajikan tetapi masih dalam proses menunggu. 

— AWANI