Parti KDM Sokong Hajiji & GRS Terus Terajui Kerajaan Negeri

Parti KDM Sokong Hajiji & GRS Terus Terajui Kerajaan Negeri

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyokong Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus menerajui kerajaan negeri.


Timbalan Presidennya Datuk Wetrom Bahanda berkata, ini selaras dengan ketetapan dan pendirian Hajiji dan Kerajaan GRS yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan.


Katanya, Anwar dalam kenyataannya pada Jumaat telah mengesahkan sokongan GRS dalam kerajaan perpaduan.


“Semasa perjumpaan khas Parti KDM bersama PM yang diketuai oleh presiden parti, Datuk Peter Anthony pada Jumaat, PM telah menyatakan sokongan kepada Hajiji untuk terus menerajui dan mentadbir Sabah selaras dengan sokongan GRS kepada kerajaan perpaduan.

“Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru sahaja selesai, kita tidak mahu terlalu banyak berpolitik kerana sekarang adalah masanya kerajaan perpaduan disokong dan didokong oleh Barisan Nasional (BN) GRS, KDM dan lain-lain parti bersama-sama membangun negara, negeri serta rakyat.

“Kini adalah masanya kita bersama-sama membangun dan membela rakyat Sabah yang masih ketinggalan dalam banyak segi terutamanya kawasan luar bandar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS pada Khamis melahirkan keyakinan bahawa kerajaan negeri dan persekutuan boleh bekerjasama rapat untuk merealisasikan pelbagai aspek pembangunan, termasuk usaha mengembalikan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pada Jumaat, ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah turut menyatakan sokongan mereka kepada Hajiji untuk terus menerajui kerajaan negeri sehingga habis penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berbaki tiga tahun lagi. 

— EDITOR