Sabah tidak tuntut jawatan TPM – Hajiji

Sabah tidak tuntut jawatan TPM – Hajiji

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah menyerahkan kepada pucuk pimpinan Persekutuan bagi menentukan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Sabah atau sebaliknya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya tidak membuat tuntutan berhubung jawatan kedua terpenting negara menerusi kerajaan perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita tidak tuntut, terpulanglah kepada pucuk pimpinan kerajaan di Putrajaya,” katanya ringkas kepada pemberita selepas membentangkan Bajet Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jawatan yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini jika berjaya menerajui kerajaan pada PRU15.

Bercakap mengenai reaksi daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan GRS menyokong kerajaan perpaduan, beliau yakin bekas Perdana Menteri itu memahami bahawa gabungannya itu memberi keutamaan kepada Sabah terlebih dahulu.

“Kita memikirkan kepentingan negeri Sabah di bawah GRS, di mana kita memberikan keutamaan kepada Sabah. Jadi saya ingat Tan Sri tahu akan hal ini dan dia orang yang lebih bijak.

“Saya ingat kita tidak ada masalah, kerana ini adalah keputusan kita dalam GRS,” katanya.

Ditanya bagaimana kerjasama GRS dengan Barisan Nasional (BN) Sabah, beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, ia berjalan dengan baik.

“Nampak bagus, kerajaan perpaduan. Jadi yang penting ialah kita memberi fokus kepada pemulihan ekonomi dan juga untuk membangunkan negeri Sabah serta memberi kesejahteraan kepada rakyat, itu yang lebih penting,” katanya.

— ASYIKIN ASMIN