Lebih 23,000 Tandatangani Petisyen Desak GPS Tolak PERIKATAN NASIONAL

Lebih 23,000 Tandatangani Petisyen Desak GPS Tolak PERIKATAN NASIONAL

Kongsikan Berita Ini

PETALING JAYA: Satu petisyen dalam talian menggesa Ahli Parlimen beragama Kristian dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan persekutuan berjaya mengumpul 23,400 tandatangan setakat 9.45 malam tadi.

Petisyen di Change.org dilancarkan semalam selepas seorang ADUN Sarawak menggesa GPS menolak gabungan dengan PN dan parti komponennya PAS kerana mendakwa dianggotai “pentaksub perkauman”.

Bekas pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata, Ahli Parlimen negeri itu mesti mengekalkan keharmonian yang wujud dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.

Beliau merujuk kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin baru-baru ini, yang mendakwa ada usaha untuk “mengkristiankan Malaysia” oleh Pakatan Harapan.

Muhyiddin kemudian menjelaskan ucapannya diambil di luar konteks oleh lawan PN bagi mencemarkan imejnya.

Baru turut mendakwa Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menunjukkan dirinya sebagai “pentaksub agama dan kaum” dengan menyalahkan orang bukan Islam sebagai punca rasuah.

Semalam, Abang Johari dilaporkan berkata, GPS setuju bergabung dengan PN, Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah untuk membentuk kerajaan baharu yang stabil. Tetapi, BN menafikan ia berunding dengan GPS atau PN mengenainya.

Bagaimanapun, sumber memberitahu, GPS memutuskan untuk bekerjasama dengan PN kerana beranggapan Barisan Nasional (BN) juga bersetuju untuk menyertai gabungan itu. – FMT