TSUNAMI PENGUNDI CINA AKIBATKAN SOKONGAN TERHADAP WARISAN BERKURANG – Shafie

TSUNAMI PENGUNDI CINA AKIBATKAN SOKONGAN TERHADAP WARISAN BERKURANG – Shafie

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU: Tsunami rakyat yang mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan undi masyarakat Cina terhadap Parti Warisan (Warisan) beralih arah kepada Pakatan Harapan (PH).

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, tsunami rakyat mahu memberi peluang kepada Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Apabila kita lihat mereka (pengundi Cina) mahukannya, sebab itu kita kalah di sesetengah kawasan.

“Malah, semasa melihat pergerakan pengundi di Kepayan dan melalui lawatan saya ke pusat mengundi, saya boleh nampak bahasa tubuh dan pergerakan mereka agak berbeza,” katanya.

Menurutnya, apabila berlaku tsunami tersebut, mereka boleh lihat Warisan kehilangan sokongan di kawasan kubu kuat mereka.

Semasa PRU-14, Warisan memperoleh sokongan pengundi Cina namun, pada PRU kali ini, sokongan itu dilihat menurun kerana berlaku tsunami pengundi yang beralih arah kepada PH.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Semporna itu juga mengakui kawasan Kadazandusun dan Murut (KDM) merupakan kelemahan parti berkenaan.

“Kita dapat kuasai kawasan pantai Timur dan kawasan bandar tapi, KDM adalah kelemahan kita maka, kita akan cuba perbaiki keadaan tersebut,” katanya.