PRU15: PBS akan terus perjuang nasib rakyat sabah, walau hanya menang satu kerusi

PRU15: PBS akan terus perjuang nasib rakyat sabah, walau hanya menang satu kerusi

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU: Walaupun hanya berjaya merampas satu kerusi Parlimen di Tawau dan tewas di tiga tempat lain iaitu di Kota Marudu, Tuaran, dan Kota Kinabalu, Parti Bersatu Sabah (PBS), berikrar akan terus memperjuangkan nasib rakyat di negeri itu.

Presidennya, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, PBS akan terus bersama-sama menjadikan Dewan Rakyat sebagai platform untuk memajukan Sabah.

Ongkili dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berjaya memenangi serta mempertahankan kerusi Parlimen pada PRU15.

“PBS akan terus memainkan peranan dengan komitmen dan semangat yang lebih tinggi dalam memberi perkhidmatan kepada Sabah dan rakyatnya.

“Kami mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan dalam PN, BN, dan GRS yang berjaya memenangi atau pun mempertahankan kerusi mereka.

“Percayalah bahawa kami akan menggunakan Parlimen sebagai platform dalam usaha membangunkan Sabah yang lebih baik,” ujar Ongkili dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ongkili turut merakamkan penghargaan kepada penyokong dan pengundi Parlimen Kota Marudu atas peluang yang diberikan kepada dirinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek, dan Langkon selain berharap agar tempoh perkhidmatan beliau selama 6 penggal berjaya membawa perubahan terhadap daerah itu.

“Untuk Parlimen Kota Marudu yang saya wakili selama 6 penggal sebagai Ahli Parlimen dan 3 penggal sebagai ADUN Langkon dan Tandek, saya berterima kasih di atas peluang untuk berkhidmat kepada mereka dan saya berharap agar saya telah menjadi ejen perubahan selama itu”, Ongkili berkata.