GRS Isytiharkan Perang Terhadap BN Sabah – Bung

GRS Isytiharkan Perang Terhadap BN Sabah – Bung

Kongsikan Berita Ini

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melanggar perjanjian kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bersama Barisan Nasional (BN) Sabah, kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengerusi BN Sabah itu mendakwa Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor bersama enam Ahli Parlimen gabungan parti itu memberikan sokongan mereka kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Hajiji tidak menghubungi saya atau berbincang dengan saya mengenai sokongan GRS kepada Perikatan (Nasional).

“Kami mempunyai perjanjian bahawa GRS akan menyokong Barisan (Nasional), Hajiji melanggar perjanjian dengan memberi sokongan kepada PN. Mereka (GRS) mengisytiharkan perang terhadap kami,” kata Bung Moktar dipetik The Star.

Sebelum penamaan calon pada PRU-15, pakatan antara GRS dan BN Sabah bersetuju bahawa GRS akan bertanding di 13 kerusi manakala BN di 12 kerusi.

Susulan itu, GRS memenangi enam dan BN tujuh kerusi.

Ketika pembentukan kerajaan masih tergantung, Hajiji bersama Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony dan Ahli Parlimen KDM Datuk Wetrom Bahanda dan Ahli Parlimen Bebas Kudat Datuk Verdon Bahanda dan Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin bertemu Muhyiddin malam semalam. 

Bung Moktar berkata, gambar pertemuan mereka tersebar di media sosial sekali gus menunjukkan GRS melanggar perjanjian dan berkemungkinan menjejaskan hubungan mereka di peringkat kerajaan negeri. – HMetro