PRU15: Pihak Pengerusi SPR tiba di Istana Negara

PRU15: Pihak Pengerusi SPR tiba di Istana Negara

Kongsikan Berita Ini

KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, tiba di Istana Negara, di sini, sebentar tadi.

Kenderaan Toyota Camry hitam dinaiki beliau tiba di pekarangan Istana Negara pada jam 1.02 tengah hari sebelum masuk melalui pintu dua dengan diiringi motosikal pengiring Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau dipercayai akan menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai perkembangan terkini proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam.

Sementara itu, lebih 50 pengamal media kini berkumpul di hadapan laluan pintu dua Istana Negara, di sini bagi membuat liputan lanjut pasca PRU15 yang kini terarah kepada proses pembentukan kerajaan sebaik keputusan rasmi PRU15 dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong kelak.

Pengamal media berkumpul di sini untuk bersiap sedia menunggu sebarang pergerakan masuk oleh mana-mana pihak termasuk pihak SPR dan ketua-ketua parti yang dijangka dapat membentuk kerajaan.

Pengerusi SPR dijadual akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi mempersembahkan keputusan rasmi PRU15.

Yang di-Pertuan Agong juga dijangka memanggil ketua-ketua parti untuk menghadap bagi baginda mendapatkan kepastian sendiri daripada ketua-ketua parti mengenai pendirian gabungan blok parti.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan SPR di laman webnya, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi 73 kerusi dengan jumlah keseluruhan 222 kerusi Parlimen dipertandingkan.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 30 kerusi, diikuti Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan Sabah (WARISAN) (tiga), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (satu) dan calon Bebas (dua).