Dr M antara 369 calon lain Parlimen hilang deposit

Dr M antara 369 calon lain Parlimen hilang deposit

Kongsikan Berita Ini

PETALING JAYA: Seramai 369 calon kerusi Parlimen, termasuk Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad, hilang deposit selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15),

Dr Mahathir yang cuba mempertahankan Langkawi untuk penggal kedua hanya memperoleh 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam pertembungan lima penjuru itu.

Pemimpin kanan Pejuang lain yang turut hilang deposit termasuk anaknya, Mukhriz yang kalah di Jerlun dan Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air Marzuki Yahya (Sungai Petani), lapor Bernama.

“nama besar” lain turut mengalami nasib sama, antaranya bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi Zuraida Kamaruddin yang meraih 4,589 undi di Parlimen Ampang dan bekas timbalan menteri komunikasi dan multimedia Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Padang Besar (1,939 undi).

Sementara itu, calon selebriti dan aktivis sosial yang hilang deposit termasuk pengarah filem Ahmad Idham Nadzri (GTA) dan calon bebas Abdul Rani Kulup Abdullah di Port Dickson.

Parlimen Batu menyaksikan paling ramai calon kehilangan deposit, iaitu lapan daripada 10 calon bertanding.

Mereka terdiri daripada calon bebas Siti Kasim, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, Tian Chua dan Too Cheng Huat; Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang); Naganathan Pillai (Warisan); Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia); dan A Kohilan Pillay (Barisan Nasional).

Jumlah undi tertinggi pada PRU15 diperoleh Gobind Singh Deo di Damansara, dengan 142,875 undi, menewaskan dua pencabarnya yang semua hilang deposit.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Roy Angau Anak Gingkoi menang dengan majoriti terkecil, iaitu 100, apabila mendapat 6,644 undi dalam pertembungan empat penjuru, menyaksikan seorang calon hilang deposit.

Sementara itu, bagi kerusi DUN, sebanyak 129 daripada 441 calon yang bertanding dalam tiga pilihan raya negeri – di Pahang, Perlis dan Perak – hilang deposit.

Untuk bertanding, calon perlu mempertaruhkan wang deposit sebanyak RM10,000 bagi kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi DUN.