Seorang Mekanik putus kaki menang saman jalan raya berlubang

Seorang Mekanik putus kaki menang saman jalan raya berlubang

Kongsikan Berita Ini

KOTA BHARU: Seorang mekanik yang putus kaki akibat terjatuh ke dalam lubang dilimpahi air semasa menunggang motosikal di Kilometer 53, Jalan Kota Bharu – Kuala Krai dekat Machang kira-kira dua tahun lalu menang saman dan menerima pampasan sebanyak RM652,00.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli di sini semalam selepas mendapati bukti yang dikemukakan oleh pihak Tengku Muhamad Khazi Hakimi Ku Hussin, 34, selaku plaintif bahawa kemalangan berlaku akibat lubang jalan yang dilimpahi air.

Menurutnya, kemalangan itu berpunca daripada kecuaian Roadcare Malaysia Sdn. Bhd. (Roadcare) sebagai kontraktor penyelenggara jalan kepada kerajaan yang merupakan defendan dalam kes tersebut.

Peguam yang mewakili plaintif, Wahab Che Kob berkata, pada peringkat awal perbicaraan, Roadcare menafikan dan menyangkal kewujudan lubang tersebut pada jalan raya berkenaan.

“Bagaimanapun, mahkamah menyatakan berdasarkan bukti-bukti dan keterangan di pihak plaintif, kemalangan berlaku disebabkan lubang yang dilimpahi air akibat kecuaian Roadcare sebagai kontraktor penyelenggara jalan kepada kerajaan.

“Kejadian itu menimpa mangsa dalam kejadian pada 1 Disember 2019 di Kilometer 53, Jalan Kota Bharu – Kuala Krai di Machang. Nahas itu mengakibatkan mangsa mengalami cacat kekal apabila kehilangan kaki kirinya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Tengku Muhamad Khazi Hakimi memfailkan saman melalui Tetuan Kamarudin Wee & Co. dengan menamakan Roadcare dan kerajaan sebagai defendan yang diwakili peguam S. Siva Shanker dan Asmah Che Wan. – UTUSAN