Kerajaan Stabil Penting Segerakan Projek Jalan Raya Pan Borneo Sabah

Kerajaan Stabil Penting Segerakan Projek Jalan Raya Pan Borneo Sabah

Kongsikan Berita Ini

SANDAKAN, 18 Nov : Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ialah projek pembangunan berimpak tinggi yang sepatutnya memanfaatkan rakyat di Sabah yang sekian lama mendambakan infrastruktur jalan raya lebih baik.

Fasa pertama projek yang dilancarkan di Sabah dan Sarawak pada 2016 sepatutnya siap tahun ini, namun di Sabah, projek itu kini lebih 60 peratus siap, manakala di Sarawak pula lebih 85 peratus.

Perubahan pemerintahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi faktor terawal kelewatan projek itu, termasuk di Sabah, apabila kerajaan negeri baharu Warisan Plus bersama Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), menamatkan kontrak rakan pelaksana projek (PDP) pada 2019.

Selepas 26 bulan Warisan Plus memerintah, Pilihan Raya Negeri ke-16 diadakan menyaksikan Barisan Nasional (BN) kembali menerajui kerajaan negeri dengan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tanpa berlengah meneruskan semula projek itu.

Malah pada 6 Nov tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan zon Timur projek itu melibatkan jajaran Sandakan-Kinabatangan-Beluran-Telupid, selain kerajaan Persekutuan,  menerusi Bajet 2023 dibentang pada 7 Okt, komited untuk menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah pada 2024.

Sehubungan itu, pemerhati politik Tony Paridi Bagang berpendapat sebuah kerajaan yang stabil dilihat penting dan amat diperlukan bagi mempercepatkan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo untuk dinikmati rakyat.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah itu berkata sebuah kerajaan yang memahami kehendak rakyat dan melihat sesuatu keperluan penting dilaksanakan dengan kadar segera, harus bijak dan memastikan projek yang berimpak tinggi seperti lebuh raya itu tidak dilengahkan.

“Kestabilan kerajaan merupakan perkara penting dalam pentadbiran sesebuah negara. Mana-mana parti yang menjadi pemerintah perlu stabil agar setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan dilaksanakan dengan jayanya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata projek lebuh raya itu sangat penting dalam meningkatkan kecekapan sistem perhubungan jalan raya di Sabah dan menyelesaikan masalah kerosakan jalan raya yang berlaku di seluruh negeri.

Beliau berkata BN perlu diberi mandat pada PRU15 agar projek Lebuhraya Pan Borneo itu tidak tergendala sekali lagi seperti yang berlaku ketika PH mengambil alih kerajaan Persekutuan selepas PRU14.

“Hanya selepas PH jatuh, projek ini dapat diteruskan dengan lebih lancar dan kerajaan sudah menyatakan komitmennya dalam Bajet 2023 untuk memberi keutamaan terhadap projek ini agar siap sepenuhnya pada 2024.

“Jadi, kita jangan biarkan lagi projek ini tergendala sekali lagi. Kerajaan BN sudah memberi jaminan akan mempercepatkan pelaksanaannya dan atas sebab itu, rakyat di Sabah perlu memenangkan BN pada PRU15,” katanya.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata tiga daripada 35 pakej kerja dalam fasa satu projek itu di Sabah dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini, iaitu Pakej 27 melibatkan jalan sepanjang 8.1 km dari Kampung Lot M ke Batu 32, Sandakan dan Pakej 21 melibatkan jajaran Lahad Datu Bypass sepanjang 7 km, serta Pakej 5 melibatkan jalan sejauh 11.39 km dari Papar ke Penampang.

Fasa pertama projek itu di Sabah melibatkan 706 km dari Sindumin ke Kota Kinabalu dan seterusnya ke Kudat, serta Tawau hingga Batu 32, Sandakan dan seterusnya ke Ranau.

Seorang pengusaha sawit Rudee Abu Bakar, 45, dari Beluran yang kerap menggunakan laluan projek Lebuhraya Pan Borneo antara Kota Kinabalu dengan Sandakan, mahu kerajaan yang akan ditubuhkan selepas PRU15 nanti mempercepatkan penyiapan projek itu kerana bajet yang sama telah lama diputuskan seiring dengan Sarawak.

“Pan Borneo merupakan projek daripada kerajaan lama (BN), sepatutnya disambung kerajaan selepas itu (PH). Projek ini sangat bermakna untuk rakyat di Sabah demi kemajuan negeri,” katanya.

Pentadbir syarikat Ruziah Mohammad, 32, yang berasal dari Kota Kinabalu dan bertugas di Tawau, berkata kelewatan penyiapan projek itu tidak mencerminkan kesungguhan sesuatu kerajaan dalam menunaikan janji untuk memastikan keselesaan rakyat selepas mendapat mandat.

Menurutnya, sering kali tugasnya menuntut beliau merentas daerah antara Tawau dengan Semporna serta ke Kota Kinabalu, dan memberi kesan kepada keupayaan kenderaan dan juga kesihatannya, serta risau akan menjejaskan kemampuannya dalam melaksanakan tugas. – BERNAMA