JANGAN GULA-GULAKAN RAKYAT SABAH DENGAN TAWARAN TPM – SHAFIE

JANGAN GULA-GULAKAN RAKYAT SABAH DENGAN TAWARAN TPM – SHAFIE

Kongsikan Berita Ini

TENOM: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengingatkan pemimpin Malaya supaya berhenti gula-gulakan rakyat Sabah dengan tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Beliau berkata, apa yang penting kepada Sabah adalah tunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Isu seperti pembangunan umat, peluang pekerjaan serta harga barangan yang meningkat perlu diberi lebih perhatian berbanding jawatan TPM.

“Jangan bila musim pilihan raya, demi nak dapat undi bagi gula-gula dengan tawarkan jawatan TPM.

“Kenapa harus Sabah dan Sarawak hanya layak untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri sahaja, Perdana Menteri diberi kepada Semenanjung.

“Takkan seumpana itu, kita juga rakyat Malaysia. Saya juga yakin ada pemimpin Sarawak yang layak dan sudah lama berkhidmat di peringkat Semenanjung, bukan hanya menjadi Timbalan Perdana Menteri, menjadi Perdana Menteri pun boleh.

“Kalau orang India dari Asian boleh menjadi Perdana Menteri Britain takkan orang Sabah dan Sarawak tak boleh pula, takkan cuma orang dari Tambun, Perak sahaja yang boleh,” katanya semasa Program Jelajah Presiden kelmarin.

Ditanya tentang cadangan Tun Mahathir Mohamad agar pembangkang bekerjasama, Mohd Shafie berkata, beliau sudah pernah bekerjasama dengan Tun Mahathir jadi cukuplah.

Pada hari ini, apa yang penting bukan gabungan parti sebaliknya gabungan rakyat bagi menumbangkan pemimpin yang tidak mendengar suara rakyat di peringkat akar umbi.

Penyandang kerusi Parlimen Semporna itu berkata, sudah tiba masa untuk ‘reset’ landskap politik Malaysia dan rakyat yang akan menentukan siapa menjadi kerajaan dan pemimpin di negara ini.

“Bukan kita bergabung sana, gabung sini dan selepas berkuasa, saling bergaduh,” katanya.