Lelaki Maut Dipatuk Ular Tedung Peliharaan Ketika Memberi Makan

Lelaki Maut Dipatuk Ular Tedung Peliharaan Ketika Memberi Makan

Kongsikan Berita Ini

Seorang lelaki dilaporkan maut selepas dipatuk ular tedung selar sewaktu hendak memberi makan kepada reptilia berbisa tersebut di Jawa Timur Trenggalek, Indonesia.

Memetik DetikJatim, kejadian malang itu berlaku sewaktu mangsa mahu memberi makan dua ekor ular peliharaannya yang masing-masing berukuran 4.5 meter dan 2.5 meter.

Bagaimanapun, salah seekor ular berkenaan secara tiba-tiba mematuk tangan pawang itu.

Menurut salah seorang saudara mangsa, reptilia itu telah dipelihara oleh mangsa sejak lima tahun lalu.

Tambahnya, mangsa cuba meminta pertolongan dengan menghubungi kakaknya untuk datang ke rumahnya dengan segera.

Sementara itu, Ketua Polis PPK Trenggalek, Stefanus Triadi Atmono berkata, mangsa selepas itu telah dibawa ke hospital.

“Mangsa kemudiannya segera dikejarkan ke Hospital RSUD Dr Soedomo Trenggalek,” katanya.

Dalam perjalanan ke hospital, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan dengan segera sejurus tiba di hospital.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian dan jenazah dikebumikan pada sebelah petang oleh pihak keluarga, maklum Triadi.

Dalam pada itu, ular tersebut juga menunjukkan tanda agak ganas (tidak jinak) sewaktu pihaknya mahu memberi makan kepada reptilia itu.

“Ia sangat ganas dan tidak boleh disimpan dengan lebih lama kerana berisiko tinggi,” katanya lagi.

Sehubungan itu, pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Jawa Timur di  Trenggalek untuk menyerahkan ular berkenaan kepada Pusat Pemuliharaan Sumber Asli (BKSDA).

Sumber: DetikJatim