SYABU DITEMUI DALAM BOT DITINGGALKAN

SYABU DITEMUI DALAM BOT DITINGGALKAN

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU: Tiga bungkusan berisi syabu ditemui dalam sebuah bot yang ditinggalkan di kedudukan 0.20 batu nautika barat laut Sutera Habour, di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, dadah berkenaan ditemui dalam operasi kira-kira jam 10 malam.

“Bot terbabit ditemui pasukan peronda yang ditugaskan melaksanakan ‘snap check’ dan pemantauan di kawasan-kawasan panas termasuk sekitar perairan selatan Pulau Gaya ke Tanjung Aru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya ketika rondaan, pasukan operasi mengesan sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan serta bergelap dari arah Sutera Habour.

Selepas merapat ke bot berkenaan, ia didapati tidak membawa penumpang yang disyaki telah terjun ke laut untuk melarikan diri ke daratan berhampiran, katanya.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap bot tanpa nombor pendaftaran itu kemudiannya menemui tiga bungkusan dadah jenis methamphetamin seberat 70 gram yang disorokkan di dalam sebuah bekas.

“Bot seterusnya dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.