Parti Warisan Gesa Siasat Dakwaan Maximus Mengenai PTI

Parti Warisan Gesa Siasat Dakwaan Maximus Mengenai PTI

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU: Mendakwa ahli Parti Warisan (Warisan) terdiri daripada pendatang tanpa izin (PTI) mendorong pemimpin parti itu tampil membuat laporan polis.

Sebagai ahli Warisan yang terdiri daripada suku kaum Kadazandusun Murut (KDM), Jenifer Lasimbang rasa dakwaan itu mengguris hati mereka yang merupakan anak tempatan Sabah.

Tuduhan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bahawa ahli-ahli Warisan terdiri daripada PTI seperti merujuk kepada semua penyokong Warisan di Sabah.

“Kenyataan itu sangat mengecewakan apatah lagi apabila ia dikeluarkan oleh seorang pemimpin yang begitu lama dalam politik.

“Amat menyedihkan apabila isu perkauman mula dibawa masuk ke negeri ini. Permainan isu sebegini akan menimbulkan provokasi terhadap penyokong Warisan serta kaum ibu yang inginkan yang terbaik untuk masa depan anak-anak kami dan masa depan negeri ini,” katanya semasa hadir membuat laporan polis mengenai dakwaan Maximus terhadap Warisan di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mohd Zinin Andong Ajak berkata, beliau mengetuai kumpulan itu untuk membuat laporan polis bagi menggesa agar pihak berkuasa boleh menjalankan siasatan mengenai dakwaan yang melampau dan menimbulkan isu perkauman di Sabah.

“Sebahagian besar penyokong Warisan terdiri daripada anak jati negeri Sabah sepertimana penyokong PBS, malah Warisan juga sudah diterima di Semenanjung Malaysia.

“Apakah yang dimaksudkan dengan kenyataan mengaitkan Warisan dengan PTI. Kami mendesak agar Maximus mengemukakan bukti yang dimaksudkan,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking juga menggesa Maximus tampil dengan bukti bagi mengesahkan dakwaannya bahawa ahli-ahli Warisan terdiri daripada PTI.

Darell berkata, Maximus sendiri pernah menyatakan pengeluaran IC kepada PTI pernah diberikan oleh sebuah parti dalam Barisan Nasional (BN) maka, Maximus harus tanya kepada parti yang dimaksudkan itu. – BorneoToday