Negeri Sabah Lancar Minyak Masak Tempatan Jenama ‘Sayang’

Negeri Sabah Lancar Minyak Masak Tempatan Jenama ‘Sayang’

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah hari ini melancarkan minyak masak keluaran tempatan baharu jenama ‘Sayang’ dalam usaha memastikan bekalan mencukupi di negeri ini selain membolehkan rakyat membelinya pada harga yang berpatutan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata produk keluaran Sawit Kinabalu Sdn Bhd yang juga syarikat berkaitan kerajaan negeri, akan memasuki pasaran di seluruh Sabah dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu berkata minyak masak itu dikeluarkan oleh anak syarikat Sawit Kinabalu, Kunak Edible Oil Sdn Bhd (KEOSB).

“Sawit Kinabalu akan mencari ejen untuk mengedarkannya yang kita berharapkan ini dapat memastikan bekalan minyak masak yang mencukupi di Sabah.

“Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan rakyat memandangkan kekurangan bekalan serta harganya yang tinggi sejak kebelakangan ini,” katanya ketika melancarkan produk itu di sini, hari ini.

Minyak masak itu dikeluarkan dalam pek 1 kilogram serta botol 2 kilogram dan 5 kilogram dengan harga yang lebih murah berbanding jenama lain di pasaran.

Harga minyak masak tanpa subsidi bagi 2 kilogram itu adalah RM13.20 sebotol, 5 kilogram pada harga RM31.00 manakala bersubsidi bagi pek 1 kilogram pula RM2.50, katanya.

Hajiji berkata kapasiti pengeluaran bulanan syarikat itu mencecah 150 tan untuk minyak masak bersubsidi dan 100 tan bagi tanpa subsidi.

Produk minyak masak lain kerajaan Sabah adalah jenama Bess keluaran syarikat Benta Wawasan di Tawau, jenama Gold keluaran Syarikat Intipati Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Onsoi yang dikeluarkan oleh kilang di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB). – BERNAMA