TERLIBAT BOM IKAN DAN MEMILIKI DADAH, 2 WARGA ASING DITAHAN

TERLIBAT BOM IKAN DAN MEMILIKI DADAH, 2 WARGA ASING DITAHAN

Kongsikan Berita Ini

LAHAD DATU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan 2 warga asing yang disyaki melakukan aktiviti bom ikan di sekitar perairan Tabawan-Kunak, Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, aktiviti terlarang itu dikesan ketika pihaknya melakukan rondaan rutin di perairan berkenaan.

Ketika melakukan rondaan,bot peronda Maritim Malaysia mengesan pergerakan mencurigakan sebuah pam bot kira-kira jam 4.00 petang.

“Hasil maklumat perisikan dan aduan awam, sebuah pam bot tidak bernombor bersama muatan berisi pelbagai jenis ikan berjaya ditahan di lokasi sekitar 1.7 batu nautika Utara Kampung Pangi, Kunak,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemeriksaan mendapati ikan terbabit dipercayai telah ditangkap menggunakan bom ikan.

Turut ditemui, sebuah kompresor yang dipercayai digunakan untuk menyelam bagi memasang bom di dasar laut.

Namun, suspek bertindak membuang bahan letupan ke laut ketika bot Maritim Malaysia cuba menghampiri mereka.

Seorang suspek juga bertindak agresif ke atas anggota Maritim Malaysia untuk mengelak ditahan.

Pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit juga menemui paket lutsinar berisi hablur kristal yang dipercayai dadah jenis syabu seberat 0.1 gram.

Menurutnya, pam bot dan kedua-dua suspek telah ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Manakala kes berkaitan dadah akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Kunak.

Kedua-dua suspek berusia 35 dan 49 tahun.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, Zon Maritim Lahad Datu akan terus memperkasakan rondaan dan
penguatkuasaan di sekitar pulau di perairan Lahad Datu.

Katanya, banyak aduan awam telah diterima mengenai aktiviti bom ikan.

Aktiviti ini perlu dibanteras kerana menusnahkan ekosistem laut termasuk hidupan marin dan terumbu karang.

Maritim Malaysia menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti bom ikan atau kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau menghubungi MERS 999.