SPR Dan JPN Diminta Perjelas Lonjakan Pengundi Baharu Meragukan Di Sabah – Hajiji

SPR Dan JPN Diminta Perjelas Lonjakan Pengundi Baharu Meragukan Di Sabah – Hajiji

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diminta memberi penjelasan berhubung lonjakan pengundi baharu di Sabah yang meragukan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata perkara itu telah dibincang dalam mesyuarat Kabinet Sabah. Rabu lalu, dan meminta SPR dan JPN memberi penjelasan pada Selasa ini.

“Lonjakan pengundi baharu kebanyakannya didaftarkan sebagai Melayu dalam daftar pemilih terbaharu SPR mungkin bukan berasal dari negeri ini atau Semenanjung.

”Ini tidak boleh dipandang mudah. Orang lain nanti datang ke kawasan kita. Kita tidak mahu orang dapat kuasa daripada peti undi dengan cara ini, sebab itu kita buat laporan dengan pihak yang berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan peningkatan mendadak pengundi di Sabah iaitu daripada 1,064,686 orang ketika PRU14 pada 2018 kepada 1,638,806 orang tahun ini untuk Pilihan Raya Umum Ke-15  (PRU15).

Sementara itu, Hajiji mengumumkan kerajaan negeri akan mengeluarkan sebahagian tanah dalam kawasan Sabah Forest Industries (SFI) untuk dijadikan rizab kampung untuk rakyat.

“Kita akan mengeluarkan tanah itu bagi memastikan rakyat kita yang tinggal di kawasan SFI mendapat kawasan perkampungan yang rasmi untuk anak cucu mereka,” katanya. – BERNAMA