Senarai Penamaan Calon 5 Nov, PRU 19 Nov

Senarai Penamaan Calon 5 Nov, PRU 19 Nov

Kongsikan Berita Ini

PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 19 November sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (PRK DUN) Bugaya, Sabah.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 15 November.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh itu ditetapkan susulan pembubaran Parlimen ke-14 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRU-15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PRU kali ini berbeza apabila beberapa DUN tidak dibubarkan iaitu Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak kerana belum mencapai tempoh matang.

Tiga negeri di bawah pentadbiran PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta tiga negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga tidak membubarkan DUN masing-masing.

Hanya Perak, Pahang dan Perlis yang membubarkan DUN masing-masing untuk mengadakan PRN serentak dengan PRU-15.

Sebelum ini, PRU yang menyaksikan pilihan raya di peringkat Parlimen dan DUN seluruh negara kecuali Sarawak dijalankan secara serentak. – HMetro