Parti Warisan Kedah Sasar 5 Kerusi Parlimen

Parti Warisan Kedah Sasar 5 Kerusi Parlimen

Kongsikan Berita Ini

KUALA LUMPUR : Warisan Kedah menyasarkan lima kerusi Parlimen untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-15.

Pengerusi Warisan Kedah, Fadzil Hanafi, berkata lima kerusi itu ialah Alor Setar, Pokok Sena, Sungai Petani, Merbok dan Padang Serai.

Katanya, senarai nama individu yang dirasakan layak bertanding sudah dikemukakan kepada Presiden Warisan Shafie Apdal untuk dinilai.

“Bagi setiap kawasan Parlimen itu, kami cuma menghantar satu nama kepada presiden untuk dinilai. Selebihnya terpulang kepada penilaian presiden sama ada calon tersebut layak atau perlu digantikan individu lain,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, parti itu tidak hanya mengutamakan golongan profesional atau mempunyai pangkat dan gelaran sebagai calon berpotensi.

Katanya, ia turut dibuat berdasarkan aktiviti dan kemampuan ketua bahagian masing-masing untuk mengadakan program mendekati pengundi.

“Sebaliknya, Warisan Kedah mengutamakan calon mudah diterima rakyat serta rajin turun padang.

“Kita nampak mereka ini amat aktif dan bersemangat mengadakan aktiviti bersama rakyat. Kalau tak ada masalah, Insya-Allah masyarakat boleh terima dengan baik.” – FMT