Pemilikan Rumah Rakyat Adalah Keutamaan Kerajaan Sabah – Hajiji

Pemilikan Rumah Rakyat Adalah Keutamaan Kerajaan Sabah – Hajiji

Kongsikan Berita Ini

KUALA PENYU, 28 Sept : Kebajikan rakyat termasuk pemilikan rumah menjadi keutamaan kerajaan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata perkara itu dapat dilihat menerusi inisiatif Rumah Mesra SMJ untuk mengeluarkan penduduk luar bandar daripada kepompong kemiskinan dan memastikan penyediaan rumah mampu milik untuk mereka.

Beliau juga memberi jaminan, kerajaan Sabah akan terus menggandakan usaha untuk melindungi kebajikan rakyat dan kepentingan negeri.

“Selain memberi perhatian kepada sektor pertumbuhan utama dan pemulihan ekonomi dalam program Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan Sabah juga memberi tumpuan kepada teras kedua pelan pembangunan iaitu modal insan dan kemakmuran rakyat.

“Ini termasuk memastikan rakyat mempunyai rumah untuk berlindung,” katanya ketika melancarkan Rumah Mesra SMJ, di sini hari ini. 

Pelancaran itu amat bermakna kepada kerajaan negeri di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) kerana ia juga bertepatan dengan ulang tahun kedua pimpinan pentadbiran negeri sejak 29 Sept 2020, katanya.

Ketua Menteri mengulangi bahawa Rumah Mesra SMJ, yang mengguna pakai konsep Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) adalah untuk membantu golongan di bawah garis kemiskinan untuk memiliki rumah.

“Saya sering menekankan semua dasar dan program kerajaan yang dirancang mesti berorientasikan kemakmuran rakyat. Orang miskin tidak boleh dipinggirkan.

“Kediaman ini akan dibina di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), menggunakan geran khas Persekutuan RM125.6 juta yang disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada tahun ini,” katanya.

Setiap rumah berharga RM70,000 yang Ketua Menteri berharap dapat disiapkan mengikut jadual dan pada masa yang sama, beliau menggesa KPLB memastikan hanya penerima yang layak mendapat rumah tersebut.

“Kita mesti memastikan keutamaan diberi kepada mereka yang tidak memiliki rumah. Antara kriteria bagi pemilikan Rumah Mesra SMJ adalah mereka tersenarai dalam e-Kasih, rumah rosak akibat bencana alam atau orang kurang upaya (OKU). Kerajaan akan sentiasa memantau untuk memastikan rumah berkenaan tidak disewakan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji percaya rakyat cukup bijak untuk menilai prestasi dan pencapaian kerajaan negeri pimpinan GRS-BN sejak dua tahun lepas yang membawa kemajuan dan kemakmuran yang lebih bermakna kepada negeri dan rakyat.

Terdahulu, Hajiji melawat dua Rumah Mesra SMJ yang telah siap di Skim Kampung Kepayan, Menumbok dan Kampung Bundu, Kuala Penyu apabila beliau menyerahkan kunci rumah kepada pemilik baharu. – BERNAMA