Biro Cuaca Laos keluar amaran hujan lebat berikutan ribut tropika Noru

Biro Cuaca Laos keluar amaran hujan lebat berikutan ribut tropika Noru

Kongsikan Berita Ini

VIENTIANE: Biro cuaca Laos mengeluarkan amaran kemungkinan tanah runtuh, banjir, angin kencang dan hujan lebat bakal melanda berikutan ribut tropika Noru, lapor Xinhua.

Menurut Jabatan Meteorologi dan Hidrologi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Laos pada Jumaat, ribut itu menuju ke arah utara Filipina dari Sabtu hingga Ahad, kemudian bergerak ke Vietnam pada Isnin.

Ribut itu dijangka tiba di Laos dari Selasa hingga Rabu, membawa hujan sederhana hingga lebat ke seluruh negara.

Menurut ramalan biro itu hujan lebat dan angin kencang akan menjejaskan wilayah utara dan tengah, termasukVientiane, ibu negara Laos.

Pihak berkuasa Laos memberi amaran supaya orang ramai berhati-hati dan menasihatkan penduduk di kawasan berisiko bersiap sedia menghadapi perubahan cuaca yang mendadak.

Hujan lebat di Laos pada Ogos mencetuskan banjir yang merosakkan rumah dan infrastruktur serta menenggelamkan ratusan hektar tanah ladang di banyak wilayah dan di Vientiane.-Bernama