Sabah sapu emas 4x100m wanita

Sabah sapu emas 4x100m wanita

Kongsikan Berita Ini

Kuala Lumpur: Kuartet 4×100 wanita Sabah membuktikan mereka sukar digugat apabila berjaya membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022, petang tadi.

Acara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan kuartet Sabah jauh meninggal peserta lain sekali gus mengesahkan kemenangan mereka dalam acara berkenaan menerusi catatan masa 46.84 saat (s).

Kuartet Sabah diwakili oleh Lim Yi Fei, Chelsea Cassiopeura Evali Bopulas, Nur Aishah Rofina Aling dan Patronella Lisong.

Walaupun, kuartet 4×100 Terengganu cuba memberikan saingan namun mereka terpaksa berpuas hati membawa pulang Perak dengan catatan masa 47.42s..

Manakala kuartet 4×100 Pahang yang ditunjangi ratu pecut Sukma Nur Sarah Adi pula memperoleh gangsa (47.89s).

Sementara itu, Chelsea berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan cabaran daripada peserta lain bagi memastikan tumpuan kuartet Sabah tidak terganggu.

“Kami cuba berikan yang terbaik dan tidak memikirkan pun kekuatan atau kelebihan yang dimiliki oleh pesaing lain.

“Saya berterima kasih kepada barisan kejurulatihan yang sentiasa berusaha memantapkan larian kami dan akhirnya berjaya memenangi emas,” katanya.

Mengikut rekod, temasya Sukma edisi 2018 menyaksikan kuartet 4×100 wanita Terengganu berjaya menyapu emas dalam acara berkenaan dengan menewaskan Sabah (perak) dan Kedah (gangsa).

Selain itu rekod kebangsaan pula dipegang oleh kuartet 4×100 Perak pada Sukma edisi 2016 di Sarawak menerusi catatan masa 46.43s.

Disiarkan pada: September 17, 2022 @ 8:13pm