Proses Pengeluaran Dokumen Ambil Masa Lama Punca Lewat Usir Para PATI

Proses Pengeluaran Dokumen Ambil Masa Lama Punca Lewat Usir Para PATI

Kongsikan Berita Ini

SANDAKAN : Prosedur pengeluaran dokumen perjalanan di peringkat kedutaan negara asal pendatang yang mengambil masa yang lama, menjadi punca kelewatan pengusiran mereka di Sabah, walaupun sempadan negara terbabit telahpun dibuka tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata kebanyakan pendatang yang telah menunggu lama, merupakan mereka yang ditahan di depoh tahanan pada 2020 lagi iaitu sejak pandemik COVID-19 melanda dunia.

“Terdapat 15,166 warga asing yang sedang ditahan di depoh tahanan Imigresen di seluruh negara dan daripada jumlah ini, seramai 7,200 ditahan di depoh di Sabah sahaja, yang mana kira-kira 6,000 adalah warga Filipina.

“Pengusiran kini akan terus dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard yang ada sekarang, iaitu (pengusiran pendatang) warga Filipina melalui pelabuhan di Sandakan ke Zamboanga dan (pendatang) warga Indonesia melalui pelabuhan di Tawau ke Nunukan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan proses pengusiran pendatang Filipina di sini hari ini.

Khairul Dzaimee turut mengakui, kesesakan dialami di semua empat depoh tahanan Imigresen di Sabah iaitu di Tawau, Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu, sehingga pernah mencecah 8,000 tahanan daripada kapasiti keseluruhan iaitu 7,200 sepanjang pandemik itu melanda.

Bagaimanapun, beliau berkata pengurusan depoh berkenaan dilaksanakan dengan baik.

“Pihak Kementerian Dalam Negeri sebenarnya telahpun meluluskan pembaikan segera untuk keempat-empat depoh tahanan ini, di mana jumlah wang (peruntukan) sebanyak RM500,000 untuk setiap satu depoh akan diberikan.

“Pembaikan akan memberi fokus kepada membaiki longkang yang tersumbat, membaiki sambungan elektrik yang mengalami kerosakan dan juga menampal bumbung yang bocor,” katanya.

Pada pengusiran malam ini melibatkan seramai 750 pendatang Filipina terdiri daripada 638 lelaki, 81 wanita, 30 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan seorang bayi berumur 23 bulan.

Khairul Dzaimee berkata dalam tempoh dua minggu lagi, seramai 500 lagi pendatang Filipina akan diusir melalui pelabuhan yang sama.

Beliau turut memberitahu seramai 22,448 pendatang telah diusir pada tahun ini, melibatkan warga Indonesia, Myanmar, Vietnam, Thailand, Bangladesh dan Filipina. – BERNAMA